Muhamad Ramadan.
Muhamad Ramadan.
Saiful Affendy Sapran

Sepang: Pemain tengah Muhamad Ramadan Rosli bersedia menggalas tugas pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh meskipun hanya menerima panggilan saat akhir semalam menggantikan penyerang utama negara Faizal Saari yang digugurkan akibat kecederaan hamstring.

Sama sekali tidak menjangka bersama-sama barisan pemain lain ke Dhaka, Ramadan yang juga mampu beraksi di bahagian serangan berkata, dia akan cuba membalas kepercayaan diberikan ketua jurulatih Stephen Van Huizen.

“Sebenarnya pagi tadi (semalam) saya dalam perjalanan ke kampung mentua di Batu Pahat untuk menghadiri majlis tahlil esok.

“Kemudian tiba di Melaka jurulatih telefon dan minta saya berpatah balik kerana beliau mahu saya bersama-sama ke Dhaka.

“Pada mulanya agak berbelah bahagi juga, tapi lantaran ini tugas untuk negara, saya memang kena pergi juga.

“Lagipun saya berada dalam kedudukan pemain simpanan yang pada bila-bila masa akan dipanggil jika pemain sedia ada mengalami kecederaan,” katanya.

Jelas Ramadan, dia lebih bersemangat untuk membantu pasukan di Dhaka lantaran kepercayaan diberikan kepadanya.

“Sekarang saya lebih bermotivasi sebab sudah berada dalam senarai 18 pemain utama. Sudah tentu saya akan memberikan yang terbaik untuk negara.

“Faizal juga penyerang terbaik kita, jadi saya harap dapat menjadi pengganti baik sepertinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 7:49 AM