FIRHAN (dua dari kiri) terlepas aksi di Dhaka kerana berkahwin.
FIRHAN (dua dari kiri) terlepas aksi di Dhaka kerana berkahwin.
myMetro

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen tidak menolak akan berlaku rombakan pemain untuk dibawa pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London dari 15 hingga 25 Jun depan berbanding ketika muncul juara pusingan kedua di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

Jelas Stephen, kejohanan Piala Sultan Azlan Shah adalah medan terbaik untuknya menilai prestasi setiap pemainnya sebelum memilih 18 terbaik ke London.

“Ketika di Dhaka, kita memilih barisan pemain terbaik sebab berlaku situasi seperti kecederaan serta ada pemain meminta pelepasan.

“Sekarang saingan di Dhaka sudah habis dan apa yang perlu dilakukan adalah terus fokus kepada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Saya mempunyai peluang untuk mencuba pemain yang tidak dibawa ke Dhaka pada saingan Piala Sultan Azlan Shah nanti.

“Bermakna peluang akan diberi kepada setiap pemain untuk bersaing merebut tempat ke London,” katanya.

Antara pemain yang tidak dapat beraksi di Dhaka adalah tiga penyerang Faizal Saari serta Mohd Haziq Samsul yang berdepan kecederaan hamstring manakala Firhan Ashaari meminta pelepasan kerana melangsungkan perkahwinan.

Stephen berkata, kesemua 23 pemain perlu bekerja keras sekiranya mahu terpilih beraksi di London.

“Saya mahu melihat kualiti permainan mereka termasuk ketika sesi latihan.

“Saya mahu memilih kombinasi terbaik untuk saingan Separuh Akhir nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:46 PM