KEHILANGN Marhan (kiri) dianggap paling mengecewakan skuad negara. -Foto fail
KEHILANGN Marhan (kiri) dianggap paling mengecewakan skuad negara. -Foto fail
Naqib Nor Said


SUASANA kem skuad hoki lelaki negara bercampur suka dan duka hari ini sebaik pengendalinya, Stephen Van Huizen mengumumkan senarai 18 pemain untuk ke Sukan Komanwel Gold Coast bermula 4 hingga 15 April ini.

Ini selepas watak penting mereka sewaktu menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2018 yang berakhir awal bulan ini - Marhan Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Faiz Helmi Jali - terpaksa diketepikan sementara waktu.

Biarpun lega dengan berita kepulangan pertahanan berpengalaman dan ketua pasukan Sukri Mutalib yang sebelum ini tersisih kerana kecederaan kaki, namun kehilangan Marhan di bahagian tengah pastinya paling dirasai skuad negara.

Khidmat Marhan terpaksa dilupakan selepas pemain tengah kelahiran Negeri Sembilan itu gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah tulang jari kaki sewaktu di Ipoh.

Menurut Marhan, 28, walaupun kecewa, namun dia tidak rela menjejaskan perancangan Malaysian Tigers di Gold Coast sekiranya meneruskan hasrat mengibarkan cabaran negara ketika berada dalam keadaan bukan terbaik.

“Kecederaan ini mungkin boleh pulih dalam masa terdekat, cuma saya tidak mahu mengambil risiko untuk tetap pergi ke Gold Coast kerana saya tidak mahu apabila tiba di sana nanti saya tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan.

“Kecederaan ini mungkin akan mengganggu saya untuk membantu pasukan sepenuhnya kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih sepenuhnya dan sebab itu saya tidak mahu mengambil risiko ke Sukan Komanwel.

“Saya berharap rakan yang menggalas tanggungjawab di Gold Coast akan bermain sebagai satu pasukan dan mengutip seberapa banyak pengalaman untuk dibawa ketika beraksi di Sukan Asia dan Piala Dunia nanti,” jelas Marhan.

Selain Marhan, skuad negara juga terpaksa melupakan khidmat Nik Muhammad Aiman yang turut mengalami kecederaan ketika membantu Malaysia menewaskan Ireland 4-1 dalam aksi pembukaan di Ipoh.

Dalam pada itu, Faiz Helmi Jali yang akan menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya tidak lama lagi memohon pelepasan daripada menyertai temasya kedua terbesar dunia itu kerana mahu memberikan tumpuan kepada semester akhirnya.

Tempat kedua-dua pemain itu diambil Ramadan Rosli dan Amirol Aideed Arshad.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama England, India, Pakistan dan Wales akan membuka kempen dengan menentang England, 6 April ini.

Senarai 18 pemain:

Penjaga gol: Muhammad Hairi Abd Rahman, Muhammad Hafizuddin Othman

Pertahanan: Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Muhammad Razie Abd Rahim, Najmi Farizal Jazlan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Amirol Aideed Arshad,

Tengah: Mohd Fitri Saari, Nabil Fiqri Mohd Noor, Azri Hassan, Joel Samuel Van Huizen, Meor Muhamad Azuan Hassan

Penyerang: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Faizal Saari, Ramadan Rosli, Shahril Saabah, Firhan Ashari, Norsyafiq Sumantri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 5:58 PM