KEROSAKAN pada bas Borussia Dortmund akibat tiga letupan di tepi jalan. FOTO EPA
KEROSAKAN pada bas Borussia Dortmund akibat tiga letupan di tepi jalan. FOTO EPA
AFP

Dortmund (Jerman): Polis Jerman menahan seorang suspek berhubung tiga letupan yang menggegarkan bas pasukan Borussia Dortmund, hari ini.

Jurucakap pendakwa, Frauke Koehler berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan kejadian itu membabitkan pengganas selepas tiga surat serupa ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, surat terbabit menuntut Jerman menarik balik misi peninjauan Tornado dalam pakatan antarabangsa menentang Daish serta menutup pangkalan udara Amerika Syarikat di Ramstein.

“Dua suspek dipercayai berkaitan Daish menjadi tumpuan siasatan kami. Kedua-dua kediaman mereka diserbu dan seorang daripada mereka sudah ditahan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam Selasa itu (1 pagi Rabu waktu Malaysia) letupan di tepi jalan mengakibatkan bas Dortmund rosak selain pemain Dortmund warga Sepanyol, Marc Bartra dan anggota polis cedera.

Bom yang mengandungi serpihan besi meletup beberapa minit selepas bas pasukan itu berlepas ke perlawanan Liga Juara-Juara menentang Monaco.

Pihak pendakwa berkata, letupan itu mempunyai lingkungan lebih 100 meter dan mereka bernasib baik jumlah cedera tidak lebih teruk.

Perlawanan terbabit ditangguh ke 12.45 pagi esok (waktu Malaysia) dengan peningkatan keselamatan di perkarangan Dortmund dan Munich di mana Bayern Munich akan bertemu Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 10:14 PM