BARTRA
BARTRA
AFP

Dortmund, Jerman: Pemain kebangsaan Sepanyol, Marc Bartra menjalani pembedahan pergelangan tangan semalam selepas cedera apabila bas pasukan Borussia Dortmund terbabit dalam satu siri letupan yang memaksa penangguhan aksi Liga Juara-Juara menentang Monaco.

Jurucakap media Dortmund mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu memerlukan pembedahan di pergelangan tangan kanannya.

“Marc Bartra akan dibedah, dia patah tulang di pergelangan tangan kanannya,” kata Sascha Fligge.

“Keluarga Borussia sudah menunjukkan kami bersatu dalam keadaan sukar dan itulah yang kami mahu lakukan terhadap Marc.”

Seorang jurucakap polis mengesahkan status Bartra diubah daripada ‘cedera sedikit’ kepada ‘cedera teruk’.

Fligge berkata, kerana Dortmund dijadualkan bertemu Bayer Leverkusen dalam aksi Bundesliga Sabtu ini sebelum aksi timbal balik Rabu depan di Monaco, tiada alternatif selain mengadakan semula aksi suku akhir pertama itu awal pagi tadi.

Jurucakap Dortmund turut mengesahkan cermin kaca bas pasukan itu sudah diperkukuhkan, namun lantunan kuat hasil letupan itu menyebabkan beberapa panel pecah.

“Bas bergerak ke jalan utama, apabila ada satu bunyi kuat, satu letupan kuat,” kata penjaga gol Dortmund dari Switzerland, Roman Burki.

“Selepas letupan itu, kami semua meniarap dalam bas. Kami tidak tahu jika banyak lagi yang menyusul.”

Burki berkata, Bartra “terkena serpihan kaca yang pecah.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 9:16 AM