Nik Mohd Azlan (kiri) menyampaikan bantuan zakat kepada Sayuti di Kampung Gual Tok Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nik Mohd Azlan (kiri) menyampaikan bantuan zakat kepada Sayuti di Kampung Gual Tok Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Rantau Panjang: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyumbang wang zakat sebanyak RM3,000 kepada tiga keluarga asnaf, di sini, dan Tanah Merah.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, sumbangan RM1,000 bagi setiap keluarga itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung.

"Ini adalah sumbangan daripada bantuan kecemasan yang diberikan orang ramai selain pembayaran zakat.

"Kami sampaikan kepada tiga keluarga memerlukan ini atas titah Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra yang tidak mahu mereka terus hidup dalam kemiskinan.

"Selain itu, keluarga itu juga boleh memohon bantuan Biasiswa Tengku Anis untuk anak mereka yang masih bersekolah," katanya ditemui ketika menyampaikan bantuan untuk keluarga OKU, Sayuti Abd Manaf, 46, di Kampung Gual To' Deh, di sini hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata, kegigihan Sayuti dan isterinya, Norhayati Mat Yaacob, 37, yang juga OKU pendengaran dan pertuturan wajar dijadikan contoh untuk keluarga lain dalam membesarkan anak mereka.

"Walaupun bisu dan hidup dalam kedaifan, kedua-dua mereka berjaya membesarkan tiga daripada empat anak dengan baik malah mampu menyekolah anaknya.

"Keluarga ini perlu dijadikan contoh, dan saya berharap dengan bantuan yang diberikan ini, ia akan dapat membantu memenuhi keperluan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 5:59 PM