MUHAMMAD Fahmi menunjukkan kacang bulu yang dituai di kebun. FOTO Bernama
MUHAMMAD Fahmi menunjukkan kacang bulu yang dituai di kebun. FOTO Bernama
BERNAMA

KACANG bulu atau lebih dikenali sebagai 'Edamame' bukanlah tanaman yang sinonim dengan usahawan tani di Terengganu, namun ia berpotensi menjadi 'lubuk emas' kerana permintaan yang sangat tinggi ketika ini.

Tanaman itu dikatakan berasal dari Jepun dan ia sangat terkenal sebagai hidangan snek lazat yang terdapat di restoran-restoran negara matahari terbit itu, serta rangkaian kedai 24 jam (7-Eleven) kerana keunikan rasanya yang rangup dan berlemak.

Seorang usahawan tani kacang bulu Muhammad Fahmi Ismail, 27, berkata, beliau memulakan projek tanaman itu pada 2016 kerana menyedari potensinya yang sangat besar, untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan.

"Kacang bulu sangat mudah ditanam, kerana ia tidak mempunyai rutin penjagaan yang rumit, malah tiada serangga yang menyerang tanaman itu, membuatkan proses menanamnya sangat mudah.

"Harga kacang bulu mentah di ladang ketika ini ialah RM10 untuk satu kilogram dan mampu mencecah RM15 jika di pasaran luar," katanya yang memperoleh jualan hampir RM10,000 untuk satu tan hasil kacang bulu yang ditanam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

KACANG bulu atau dikenali sebagai 'Edamame' popular di Jepun. FOTO Bernama
KACANG bulu atau dikenali sebagai 'Edamame' popular di Jepun. FOTO Bernama

Kesungguhan bapa kepada tiga anak itu dalam mengusahakan kacang bulu, turut mendapat perhatian Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang memberi bantuan bernilai RM10,000, melalui program Geran Agropreneur Muda pada 2018.

Muhammad Fahmi berkata, melalui program itu, beliau menerima beberapa peralatan antaranya mesin rumput, mesin penggembur tanah untuk proses membajak dan pelbagai jenis baja, untuk digunakan di kebun miliknya seluas 0.4 hektar di Wakaf Mempelam.

Biarpun mempunyai pekerjaan tetap sebagai jurujual kereta terpakai di kedai milik abangnya, Muhammad Fahmi tidak menghadapi kesukaran untuk mengusahakan kacang bulu, kerana beliau mengupah lima pekerja sambilan untuk proses tertentu seperti mencabut akar pokok dan menggunting kacang bulu yang telah matang.

MUHAMMAD Fahmi menuai hasil tanaman kacang bulu di kebun di Wakaf Mempelam. FOTO Bernama
MUHAMMAD Fahmi menuai hasil tanaman kacang bulu di kebun di Wakaf Mempelam. FOTO Bernama

"Alhamdulillah, permintaan memang sentiasa ada saya sendiri mengiklankan jualan kacang bulu ini melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp, malah ada pemborong yang menghantarnya kepada pelanggan menggunakan khidmat syarikat kurier.

"Saya sangat menggalakkan usahawan tani lain agar turut menanam kacang bulu ini kerana hasilnya juga sama lumayan seperti tanaman yang lain," katanya.

MUHAMMAD Fahmi melakukan proses mengasingkan kacang bulu daripada daun dan batang. FOTO Bernama
MUHAMMAD Fahmi melakukan proses mengasingkan kacang bulu daripada daun dan batang. FOTO Bernama

  • Lagi cerita Agro
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 11:41 AM