Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu

Ketika Johor Darul Ta'zim (Johor DT) terus memainkan perang psikologi, termasuk terkini mengenai dua pemain Terengganu yang dikatakan akan menyarung jersi skuad itu musim depan, situasi itu sedikitpun tidak menjejaskan persiapan Penyu untuk menjadikan Harimau Selatan mangsa dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor malam ini.

Malah rata-rata pemain memaklumkan tiga isu termasuk jadual perlawanan, tiket penonton dan penghijrahan pemain sebenarnya menaikkan semangat mereka untuk menewaskan Johor DT di gelanggang mereka sendiri.

Penyerang Abdul Manaf Mamat berkata, pemain Terengganu tidak gentar dengan perang psikologi tuan rumah sebaliknya menyifatkan tindakan itu mampu menguatkan semangat mereka untuk beraksi lebih baik bagi layak ke separuh akhir.

Pemain kebangsaan itu berkata, rata-rata pemain yang berada dalam skuad Peteh Terengganu Peteh itu sudah lali dengan mainan psikologi apatah lagi ini perlawanan terakhir musim ini jika mana-mana pasukan terkandas di suku akhir.

"Kami sudah biasa dengan perang psikologi, tapi pada masa sama, yang penting rakan sepasukan harus memanfaatkan peluang sebaik mungkin dan fokus terhadap perlawanan selain menyerap tekanan peminat setia tuan rumah," katanya.

Bagi penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, situasi itu bakal ditangani dengan baik biarpun berdepan perang psikologi dan lautan peminat setia pasukan lawan berbanding tidak sampai 10 peratus penyokong setia Terengganu di stadium.

"Kami akan menjadikan motivasi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai azimat untuk mengharungi perlawanan itu.

"Saya percaya pelbagai dugaan serta masalah yang dihadapi mampu menaikkan semangat pemain untuk beraksi lebih meyakinkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim yang bakal menurunkan penggempur tempatan diketuai Mohd Nor Farhan Muhamad, Abdul Manaf dan Mohd Ashari Samsuddin tetap mengingatkan anak buahnya supaya memperagakan aksi sebenar seumpama final Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:32 AM