Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pelumba lebuh raya negara Mohd Harrif Saleh menyimpan hasrat memenangi peringkat terakhir Tour of Thailand hari ini.

Bergelar naib juara peringkat ketiga dan keempat masih belum memuaskan hati pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu.

“Peringkat kelima (semalam) membabitkan banyak pendakian. Jadi lebih baik saya kekal dalam kelompok besar pelumba untuk menyimpan tenaga bagi peringkat keenam (hari ini) untuk cuba memburu kemenangan,” katanya.

Bagaimanapun, pemenang dua emas Sukan SEA 2015 itu sedar bukan tugas mudah apabila perlu bersedia kerana laluan berbukit pada peringkat awal hari ini sebelum menyusuri laluan landai menuju ke garisan penamat.

“Pelumba dari Iran pasti akan cuba meninggalkan peloton kerana kemampuan mereka dalam aspek mendaki. Saya mengharapkan kerjasama rakan sepasukan bagi memastikan saya kekal bersaing sehingga garisan penamat.

“Sekiranya tiada pemecahan selepas laluan berbukit itu, saya pasti perlumbaan akan tamat dalam kelompok besar kerana laluan landai dan bakal membuka peluang kepada pelumba pecut memburu kejayaan,” katanya.

Aksi di Thailand yang mempertandingkan enam peringkat antara persiapan Harrif dalam misinya mempertahankan dua emas di Sukan SEA 2017 dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:26 AM