STURRIDGE (kiri) bantah tindakan Balotelli yang mengambil bola daripada Henderson.
STURRIDGE (kiri) bantah tindakan Balotelli yang mengambil bola daripada Henderson.

Liverpool: Kapten Liverpool, Steven Gerrard mendakwa Mario Balotelli bertindak keterlaluan selepas penyerang Itali itu merampas tugas sepakan penalti daripada Jordan Henderson ketika menang 1-0 ke atas Besiktas pada aksi Liga Europa, awal pagi semalam.

Gerrard berang Balotelli menolak Henderson ke tepi ketika pemangku kapten Reds itu mahu mengambil sepakan penalti pada perlawanan pertama, pusingan kedua di Anfield.

Ketika kedudukan terikat tanpa jaringan, Jordon Ibe membantu meraih sepakan penalti itu dan Henderson dilihat mahu melunaskan tugasnya sebagai pengambil sepakan penalti dengan ketiadaan Gerrard.

Namun, Balotelli mengambil bola daripada tangan Henderson, mencetus perbalahan dengan pemain tengah Liverpool itu sebelum penyerang Reds, Daniel Sturridge hadir untuk membantah bagi pihak Henderson.

Tidak mempedulikan rungutan mereka, Balotelli yang mengalami musim sukar di Liverpool sejak berpindah daripada AC Milan tahun lalu, dilihat tidak terjejas dengan keadaan itu sebelum merembat masuk sepakan itu.

Balotelli sudah menjaringkan 27 daripada 29 penalti buat kelab dan negara sepanjang kariernya.

Bagaimanapun, Gerrard yang menyaksikan perlawanan di studio ITV di Anfield sebagai pengulas, tidak teruja dengan sikap Balotelli.

“Jordan patut mengambil sepakan penalti itu. Peraturan tetap peraturan. Ia sepatutnya Henderson. Mario agak nakal,” kata Gerrard.

“Pujian kepada Mario kerana menjaringkan gol itu, tapi tidak bagus apabila melihat pemain bertelagah.

“Jordan kapten dan Mario patut hormat sedikit kepadanya, tapi dia menjaringkan satu gol yang amat penting.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:09 AM