GERRARD
GERRARD
Agensi

London: Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard kecewa dengan Raheem Sterling dan menyatakan penyerang Reds itu ‘terlalu berbeza’ berbanding Jordan Henderson yang dianggapnya ‘profesional’.

Sterling tidak menghadiri sesi latihan kerana tidak sihat dan enggan menyertai jelajah pramusim kelab itu selepas bidaan £40 juta (RM234 juta) dari Manchester City ditolak.

Henderson pula dijangka dilantik sebagai kapten.

“Jordan setia bersama kelab dengan menandatangani kontrak baru dan saya mendoakan kejayaannya,” kata Gerrard, 35.

Gerrard berkata, dia meramalkan Sterling akan meninggalkan Anfield.

Selepas memberitahu Liverpool dia tidak mahu bersama pasukan bagi jelajah ke Australia dan Asia, pemain berusia 20 tahun itu tidak menghadiri latihan Rabu lalu dan kelmarin selepas menelefon memaklumkan dia sakit.

Gerrard, pemain tengah Los Angeles Galaxy yang melakukan 710 penampilan bersama kelab Anfield itu berkata, dia “amat kecewa.”

“Saya mahu menyatakan perasaan saya mengenai perkara ini,” ujar Gerrard yang dijangka melakukan penampilan sulung bersama Galaxy pada perlawanan persahabatan menentang kelab Mexico, Club America, awal pagi esok.

Ketika spekulasi berterusan mengenai masa depan Sterling, pemain tengah Henderson menandatangani kontrak baru selama lima tahun April lalu.

Gerrard berkata, dia menjangkakan pemain berusia 25 tahun itu memiliki ‘karier gemilang’ buat Liverpool dan England.

“Raheem dan Jordan berada pada satu skala berbeza,” katanya. “Jordan amat profesional, dia seorang pejuang, pemain yang hebat.

“Saya tidak fikir ada pemain lain lebih sesuai mengambil lilitan lengan itu daripada saya. Saya banyak melihat permainan saya dalam permainan Jordan dan apa yang saya suka mengenainya dia amat merendah diri.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:05 AM