CHONG menunjukkan sebahagian daripada ketulan dadah ganja yang dirampas. FOTO Mohd Fadly Samsudin
CHONG menunjukkan sebahagian daripada ketulan dadah ganja yang dirampas. FOTO Mohd Fadly Samsudin
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki serta merampas lebih 27 kilogram ganja bernilai RM90,000 dalam tiga serbuan di sekitar Cheras, 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki di tepi jalan di Taman Mutiara Barat pada 2.10 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam beg sandang dibawanya anggota polis menemui ketulan mampat dadah disyaki ganja seberat satu kilogram.

"Penahanan lelaki berusia 24 tahun terbabit membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki di kawasan LRT Sungai Besi pada 6 petang.

"Pemeriksaan menemui lima ketulan dadah mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja di dalam beg suspek berusia 47 tahun terbabit," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, berpandukan maklumat suspek seterusnya membawa pihak polis ke pangsapuri Desa Tasik sebelum 21 ketulan mampat disyaki ganja ditemui di dalam but kereta yang tersadai kawasan tempat letak kereta.

"Dua lelaki terbabit ditahan reman sehingga 30 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 12:57 PM