Kuala Lumpur: Sekumpulan empat remaja diberkas polis selepas didapati menyembunyikan bungkusan ketulan mampat daun ganja di dalam kain batik.

Suspek berusia 15 dan 17 tahun itu disyaki ada kaitan dengan pengedaran dadah secara kecil-kecilan sejurus rumah mereka di Kampung Pandan Dalam di sini, di serbu polis jam 1.20 pagi semalam.

Sumber berkata, kegiatan itu dibongkar hasil tangkapan awal polis terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang disyaki terbabit dengan kes samun.

Menurutnya, suspek kemudian membawa polis ke rumah tiga rakannya sebelum tangkapan dilakukan di kediaman itu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemui dua telefon bimbit model Blackberry yang dipercayai hasil kegiatan samun mereka.

“Pemeriksaan lanjut polis turut menemui beg duit berwarna ungu mengandungi empat paket lut sinar mengandungi dadah jenis ganja,” katanya.

Dia berkata, polis turut menemui ketulan mampat daun ganja yang disembunyikan suspek di dalam balutan kain batik di dalam laci almari.

Menurutnya, semua dadah dirampas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan terhadap salah seorang suspek berusia 16 tahun didapati positif dadah jenis ganja manakala tiga lagi suspek negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:36 AM