POPIA Pukaw dengan lima perisa.
POPIA Pukaw dengan lima perisa.
POPIA yang siap digoreng dicampur perisa coklat.
POPIA yang siap digoreng dicampur perisa coklat.
Siti Zarinah Sahib


Benarlah kata orang hilang pekerjaan akan membuatkan seseorang itu lebih kental berusaha mencari pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Biarpun ada rasa malu apabila terpaksa membuka bonet kereta sambil ‘menjaja’ makanan ke sana sini namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Nurul Shuhada Abdul Rahman, 28, melariskan jualannya.

Ia bermula apabila dia ditamatkan kontrak sebagai kakitangan perbankan. Puas mencari pekerjaan tetapi semuanya tidak berhasil. Buntu dengan apa yang ingin dilakukan bagi membantu suami, wanita ini mula menyertai pelbagai kumpulan perniagaan di WhatsApp dan Facebook.

“Percampuran dengan individu daripada pelbagai bidang berbeza, mereka menyarankan saya menjual brownies. Tetapi persaingan amat sengit kerana makanan ini sudah terlalu banyak dijual menerusi dalam talian. Ini menyebabkan saya keliru, kerana inginkan kelainan bagi menghasilkan keunikan tersendiri,” katanya yang tinggal di Puchong, Selangor.

Bagi Nurul Shuhada atau mesra disapa Shuhada, dia tidak nampak perniagaan lain selain makanan kerana sejak kecil sudah dibiasakan ke dapur membantu ibu menjual nasi lemak. Jadi fokusnya hanya mencari jenis makanan dan memasarkan berdasarkan keunikannya.

Selepas puas ‘membelek’ laman sosial, akhirnya seseorang dalam kumpulan WhatsApp memberikan idea agar dia menjual popia. Mulanya dia terbayang popia basah dan bergoreng yang banyak dijual di gerai tepi jalan. Tetapi tidak mahu menghasilkan produk yang sama ditambah keupayaan untuk menyediakan dalam jumlah banyak menyebabkan dia memilih untuk memasarkan popia rangup pelbagai perisa.

“Popia yang saya hasilkan bukanlah yang biasa digoreng bersalut sos atau digulung bersama inti sayuran. Tetapi ia kudapan rangup diolah menjadi sedikit ‘hipster’ dengan pelbagai perisa yang jarang diperoleh di pasaran. Ia terhasil selepas menyedari pembuatannya yang mudah, tahan lama dan mengenyangkan.

“Pada mulanya saya hanya menghasilkan satu perisa saja iaitu kari keju. Tetapi hati mula berkata-kata mengapa tidak diluaskan kepada perisa lain dan jarang diperoleh. Sebab itulah munculnya idea untuk menambah perisa strawberi, coklat, keju dan kelapa,” katanya yang beroperasi di dapur comel di rumah saja.

Selain cabaran dalam mencari resipi untuk perisa, sebagai orang muda Shuhada percaya apa yang membuatkan produk makanan mendapat perhatian adalah teknik pemasaran dan mampu diingati semua. Sebab itu proses memberi nama turut mengambil masa.

“Pelbagai nama saya berikan untuk kudapan ini. Akhirnya tercetus nama Popia Pukaw yang saya rasakan ia ringkas, mudah disebut dan menarik. Suami juga bersetuju,” kata Shuhada yang gembira kerana mendapat keizinan suami untuk berniaga.

MODAL RM300

Bermodalkan RM300, dia membeli kepingan kulit popia segera. Kemudian kulit popia digunting kecil sebelum digoreng. Selepas agak kekuning-kuningan popia yang sedia dimasak diangkat dan disejukkan sebelum disalut perisa. Daripada 10 paket kulit popia dia berjaya menghasilkan 60 balang kecil Popia Pukaw.

Jelas Shuhada, semua perasa ini dibuat berulang kali bagi mendapatkan rasa yang benar-benar sedap dan memikat selera. Paling sukar apabila memastikan ramuan ini sebati menyaluti kulit popia yang rangup.

Malah dengan kekurangan kemudahan Shuhada menjadikan keluarga dan kawan sebagai pengawal kualiti bagi mengelak produk dihasilkan lemau, berbau, terlalu manis atau masin. Apabila tiada masalah dari segi rasa dan kebersihan barulah popia dipasarkan.

“Pada permulaan memang ia agak memenatkan kerana saya melakukannya seorang diri. Namun inilah harga yang perlu dibayar bagi memastikan jenama Popia Pukaw berada di pasaran dan hadir dengan pelbagai lagi perisa,” katanya yang sangat teliti dalam menentukan jenis pembungkusan termasuk label.

Jelasnya dia sangat cerewet memilih warna label serta bekas yang akan digunakan. Ini kerana kedua-duanya akan menentukan keupayaan produk boleh pergi jauh atau sebaliknya. Selain nama, bekas yang menarik akan membuatkan pelanggan membeli. Ini kerana sebelum merasa, pandangan mata pelanggan biasanya tertarik kepada pembungkusan yang cantik.

Mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi Shuhada dia perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Ini kerana dia perlu membayar pinjaman pelajaran dan membantu keluarga di kampung. Selain tidak mahu membebankan suami Shuhada percaya jika berusaha bersungguh-sungguh menyediakan apa yang diinginkan pelanggan pasti kejayaan akan menjadi miliknya suatu hari nanti.

Sebab itu dia langsung tidak malu menjual produk ke sana sini dengan membuka bonet kereta di hadapan restoran. Biasanya pada hujung minggu di kawasan sekitar Petaling Jaya. Ia sebagai satu cara mempromosikan produk.

“Alhamdulillah nampaknya ia sangat berhasil. Ramai yang mula menggemari Popia Pukaw terutama kanak-kanak. Mereka sukakan perisa coklat dan kari keju kerana keunikannya. Saya juga mengambil peluang mendekatkan diri dengan pelanggan dan bertanyakan jika ada kekurangan. Dengan cara ini saya boleh memperbaikinya,” kata Shuhada yang biasanya memperoleh RM100 sehingga RM300 sehari dengan membuka bonet kereta.

Pada masa sama anak kelahiran Kedah ini tidak jemu menimba ilmu dengan menghadiri kelas teknik pemasaran iklan di Facebook dan Instagram bagi mencari stokis dan ejen. Dengan ilmu yang sentiasa bertukar setiap hari, dia perlu cepat mendalaminya agar tidak ketinggalan.

“Alhamdulillah saya mempunyai stokis di Pulau Pinang, selatan Johor dan Kuala Lumpur serta ejen yang aktif mempromosikan produk. Bagi menyediakan tempahan saya memberi peluang suri rumah di kawasan sekitar membantu menggunting popia dan menggorengnya. Secara tidak langsung mereka turut mendapat pendapatan sampingan,” katanya yang sudah bersedia menyediakan pelbagai jenis kudapan popia menjelang Ramadan dan Syawal Jun nanti.

Popia Pukaw dijual pada harga RM9 untuk balang berukuran kecil dan RM20 untuk balang besar. Mereka yang berminat menjadi ejen boleh melayari Facebook dan Instagram Popia Pukaw.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 5:14 AM