NZ Crunchies didatangkan dalam dua variasi dan 18 perisa unik.
NZ Crunchies didatangkan dalam dua variasi dan 18 perisa unik.
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Pengeluar snek berasaskan kulit popia, NZ Crunchies mampu memproses sehingga empat tan produk setiap bulan sejak diperkenalkan di pasaran empat tahun lalu.

Ia adalah berikutan permintaan yang semakin meningkat dan juga kelainan tersendiri yang ada pada NZ Crunchies.

Pengarah NZ Crunchies, Muhammad Syahmi Md Nazir berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pembaharuan produk bagi meningkatkan momentum mereka di pasaran dalam dan luar negara.

"Kami mula mengeluarkan NZ Crunchies ini dengan hanya lima perisa pada awalnya dan sehingga kini mempunyai 18 perisa.

"Antara perisa yang kami bawakan adalah Chocolate Supreme, Korean BBQ, Seaweed Teriyaki dan Sate Kajang.

"Malah, kelainan perisa yang kami bawakan ini adalah untuk mencapai lebih banyak pelanggan daripada pelbagai generasi terutamanya generasi muda yang gemarkan perisa unik," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sebagai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penting bagi mereka untuk berinovasi dalam mengeluarkan sesuatu produk.

Menurutnya, menerusi pembaharuan perisa di NZ Crunchies, pihaknya akan terus berusaha untuk melangkah ke hadapan.

Pelanggan NZ Crunchies boleh mendapatkan produk dalam dua kategori iaitu balang yang berharga RM10 dan juga pek 60 gram dengan harga serendah RM3 sahaja.

Sementara itu, Muhammad Syahmi berkata, bagi menjaga hubungan antara NZ Crunchies bersama rakan niaga atau ejen, pihaknya tidak menjual snek kepada pelanggan secara langsung.

"Kami menghubungkan pelanggan dengan rakan niaga yang berdekatan mereka sama ada pelanggan ini membeli dalam kuantiti banyak atau kecil.

"Sehingga kini, kami mempunyai seramai lebih 700 rakan niaga termasuk yang berada di luar negara seperti Singapura dan di Arab Saudi," katanya.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-7172858.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 7:10 AM