Tidak ada satu jenis makanan yang dapat membekalkan semua tenaga atau kalori dan nutrien yang diperlukan tubuh setiap hari.

Sebaiknya, pilih pengambilan diet harian dengan gabungan pelbagai jenis makanan. Amalkan diet seimbang dan lengkap dengan mempelbagaikan jenis makanan setiap hari berpandukan Piramid Makanan Malaysia.

Pada masa sama, makan pelbagai jenis sayur sebanyak tiga sajian setiap hari. Pilih sayur yang memiliki pelbagai warna dan jenis seperti berdaun, berbuah, kacang dan ulam.

Justeru, pilihan salad dengan pelbagai campuran sayuran dan kandungan kepingan ayam panggang di dalam satu hidangan boleh dicuba. Pemilik butik vendor dan kafe mini Berrybiru, Muna Balqis Azmi tidak lokek berkongsi resipi mudah menghasilkan hidangan sihat, bakul salad.

“Sebelum membuat hidangan bakul salad, bakar kulit popia terlebih dulu menggunakan loyang mufin selama lima minit dalam tempoh 180 darjah Celcius menggunakan api atas bawah untuk mendapatkan hasil yang rangup.

“Pastikan setiap keping kulit popia disapu mentega bagi mengelakkan melekat pada loyang acuan mufin,” katanya.

Dua lapisan kulit popia sengaja digunakan yang bertujuan untuk mengelakkan sajian salad pecah ketika dihidang atau dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 1:02 PM