Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Menjelang pertemuan menentang Sarawak di Stadium Negeri Kuching malam esok, pengendali Terengganu Abdul Rahman Ibrahim sudah mula membayangkan tugas getir bakal dilalui anak buahnya dalam misi memburu kemenangan kedua berturut-turut.

Pengendali berusia 69 tahun itu memilih untuk mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta dan bukannya mahu memulakan perang psikologi kerana pasukan Bumi Kenyalang itu berjaya bangkit menyekat FELDA United daripada mengumpul tiga mata minggu lalu.

“Saya tidak mahu pemain mendabik dada berikutan kemenangan ke atas Selangor minggu lalu, sebaliknya mereka perlu bekerja lebih keras menumbangkan lawan apatah lagi kita beraksi di laman mereka,” katanya.

Selain itu, jurulatih berpengalaman itu turut mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah keupayaan skuad Sarawak yang pasti turun dengan matlamat mencatat kemenangan pertama.

“Sebagai pemain, mereka perlu menanam azam menang setiap kali beraksi, tetapi pada masa sama perlu mengelak melakukan kesilapan mudah selain bergerak sebagai sebuah unit untuk membentuk persembahan mantap,” katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut menuntut aksi lebih konsisten terutama kepada tiga penyerang, Paulo Rangel, Mohd Ashari Samsuddin dan Abdul Manaf Mamat selain pemain di posisi lain.

“Bukan mudah membentuk persembahan mantap apatah lagi dua pemain import Paulo dan Gustavo (Lopez) baru musim ini beraksi bersama Terengganu. Saya harap Terengganu mampu memperagakan aksi terbaik dan tidak pulang tangan kosong,” katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) mengharapkan pemain mampu mengekalkan rentak kemenangan selepas menang aksi pertama.

Presiden PETEH Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, peminat mengimpikan satu piala musim ini selepas gagal membawa sebarang kejayaan pada musim lalu.

“Kemenangan bukan hanya mampu menyuntik semangat pemain, tetapi penyokong juga tetap dahagakan kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:44 AM