Dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petra Jaya: Penganggur ditahan bersama 144 tiub syabu dianggarkan bernilai RM5,500 di tepi jalan Kampung Sin Sin, di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemui dadah berkenaan disorokkan suspek di dalam beg plastik.

Menurutnya, suspek kemudiannya di bawa ke Balai Polis Gita untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit juga positif syabu.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pembekal bahan terlarang ini kepada suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama memasukkan dadah dalam badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:15 PM