SUSPEK bersama dadah Syabu yang dirampas pihak polis. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK bersama dadah Syabu yang dirampas pihak polis. FOTO Ihsan Polis
Norsyazwani Nasri


Bau: Lelaki yang dipercayai pengedar dadah menggigil ketakutan ketika ditahan polis dalam satu operasi bersepadu di Jalan Krokong berdekatan Kampung Kaman di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, lelaki itu ditahan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dalam Operasi Bersepadu Snap Check pada 11.40 pagi.

"Suspek berusia 30-an ditahan ketika sedang menunggang motosikal, pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Anggota polis kemudiannya curiga dengan lelaki itu kerana dia menggigil dan gagal menjawab soalan yang diajukan dengan betul," katanya dalam kenyataan satu hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan kemudiannya menjumpai 16 tiub penyedut peminuman berisi bahan yang disyaki dadah jenis syabu di seluar lelaki terbabit.

"Lelaki berkenaan bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun tindakan pantas anggota polis berjaya menahannya," katanya.

Poge berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bau dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga didapati positif dadah jenis methampetamine dan amphetamine.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:22 PM