BERNAMA

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) berhasrat meminda perlembagaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andainya terpilih sebagai presiden, supaya peminat sukan itu diberi kuasa memilih pemimpin badan induk itu.

Tunku Mahkota Johor itu tidak mahu kuasa memilih Presiden FAM hanya terletak di tangan anggota kongres seperti sedia ada dan berhasrat bekerjasama dengan Exco FAM meminda perlembagaan bagi memberi kuasa kepada penyokong bola sepak.

“Bola sepak adalah milik rakyat dan saya percaya rakyat perlu memilih presiden, bukannya kongres sedia ada. Anggota Kongres boleh mengundi untuk jawatan lain manakala apa-apa yang mempunyai peranan penting, harus diserah kepada rakyat.

“Saya akan ubah cara pemilihan presiden dan akan mencadangkan pada masa akan datang, penyokong dan orang ramai diberi kuasa menjadi faktor penentu pemilihan,” kata Tunku Ismail dalam laman Facebook The Southern Tigers, semalam.

Ia antara 11 visi Tunku Ismail yang akan dicabar Tan Sri Annuar Musa untuk jawatan Presiden FAM pada pemilihan jawatankuasa bagi penggal 2017-2021 yang diadakan serentak dengan Kongres FAM ke-53, Sabtu ini.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim itu juga bersedia melakukan perubahan termasuk mengadakan dialog dengan peminat bola sepak tanah air selain diadakan mesyuarat Exco FAM secara bergilir di setiap negeri.

“Perubahan ini dilakukan untuk memberi peluang kepada Exco menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku di negeri itu, memantau kemudahan, program akar umbi, kewangan dan standard yang sepatutnya di persatuan negeri atau kelab,” katanya.

Tunku Ismail menegaskan badan induk itu perlu dirombak kerana mendakwa beberapa kepincangan yang berlaku seperti salah pengurusan dana, kekurangan profesionalisme, isu integriti, kekurangan semangat, rasuah dan pilih kasih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:31 AM