HAMIDIN (dua dari kiri depan) bersama ahli jawatankuasa FAM pada sidang media bulanan skuad Kebangsaan di Wisma FAM.
HAMIDIN (dua dari kiri depan) bersama ahli jawatankuasa FAM pada sidang media bulanan skuad Kebangsaan di Wisma FAM.

Kuala Lumpur: “Jika ada usul (rombakan kepimpinan) daripada exco atau ahli gabungan untuk membolehkan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa), kita tak perlu tunggu Kongres Pemilihan 2018. Asalkan ikut statut sedia ada, bila-bila masa boleh dibuat”.

Demikian penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menerangkan terdapat tatacara kedua sekiranya mahu menukar pucuk pimpinan badan induk bola sepak tempatan itu.

Katanya, selain menggunakan amalan biasa di mana ahli gabungan memilih bakal pemimpin pada Kongres Pemilihan setiap empat tahun itu, mereka juga boleh berbuat demikian dengan kaedah kedua seperti yang termaktub dalam statut FAM.

“Saya sudah terangkan sebelum ini, kita mempunyai dua cara untuk menentukan barisan kepimpinan FAM. Pertama melalui pemilihan setiap empat tahun sekali menerusi Kongres.

“Kedua, menerusi ahli exco yang membuat usul supaya diadakan EGM. Kedua-dua cara itu memang ada dalam statut kita. Malah, FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pun menggunakan peraturan sama.

“Jadi, andaian yang mengatakan kami sengaja menyembunyikan kaedah kedua itu tidak benar. FAM terbuka menerima sebarang pandangan namun biarlah mengikut peraturan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini timbul desakan agar kepimpinan FAM dirombak dengan memberi laluan kepada pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memimpin badan induk itu.

Dalam Kongres yang diadakan dua tahun lalu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor pernah mencabar jawatan tertinggi FAM namun tewas.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dipilih oleh ahli gabungan sebagai Presiden bagi penggal 2014-2018 selepas meraih 27 undi mengatasi Tunku Ismail dengan 12 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 6:08 AM