Azlan Hafeedz

Kota Bharu: “Calon yang mahu bertanding apa-apa jawatan ketika Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya cuba memburukkan individu tidak disukainya. Beliau perlu bersikap profesional,” kata ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Mohammad Yusri Ismail (gambar).

Beliau mempertikaikan tindakan calon Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi kerana seolah-olah cuba memperlekehkan Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Presiden KAFA ketika bahang perebutan kerusi nombor satu badan induk kebangsaan itu semakin hangat.

“Kenyataan beliau (Yusoff) itu bukan menggambarkan amalan demokrasi tapi lebih kepada cuba mempengaruhi ahli gabungan FAM agar tidak mengundi calon lain kecuali yang menjadi kegemarannya.

“Selaku pemimpin, beliau perlu menunjukkan contoh baik. Tapi jika itu perangainya, bola sepak negara boleh ‘hancur’ kalau beliau terpilih. Kami di KAFA tidak tahu motif sebenar beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Adakah ia datang dari hatinya atau dipaksa berbuat demikian?” katanya.

Katanya, hak memilih sepatutnya diberi kepada 39 ahli perwakilan untuk menentukan individu yang layak memegang jawatan presiden, timbalan, naib presiden dan juga ahli jawatankuasa tertinggi FAM.

“(Calon) tidak boleh memaksa perwakilan mengikut kata kerana masa depan bola sepak negara terletak kepada calon yang bakal dipilih.

“Mereka (perwakilan) lebih arif dan tahu siapa yang sesuai mengisi kekosongan kerusi itu kerana perwakilan sendiri mahu melihat transformasi dalam landskap bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Yusoff memberitahu perwakilan yang bakal mengundi dalam pemilihan 25 Mac supaya tidak memilih dirinya jika mereka menolak calon presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Yusof yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) itu menjelaskan, beliau lebih selesa bekerjasama dengan Tunku Ismail berbanding Annuar.

Selain Yusoff, dua lagi calon Timbalan Presiden adalah penyandang Datuk Seri Afandi Hamzah dan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 8:16 AM