Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dan pemain nombor dua negara, Low Wee Wern mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat 2014 di Drexel University, Philadelphia.

Pemain nombor satu dunia, Nicol, yang memburu gelaran Terbuka Amerika Syarikat kali ketiga berturut-turut, mengambil masa cuma 28 minit untuk menundukkan pemain Australia, Rachael Grinham, 11-1, 11-8, 11-3 pada pusingan kedua di ASB Glass Court.

Nicol, 31, dari Pulau Pinang merangkul gelaran Terbuka Amerika Syarikat pada 2012 dan 2013.

"Rachael dan saya bertarung banyak kali. Dia amat berpengalaman dan saya perlukan pelan A, B dan C untuk menentangnya!,"

"Saya tahu perlu memberi fokus penuh dan benar-benar gembira dengan prestasi hari ini," kata Nicol yang dipetik dalam laman web www.ussquashopen.com.

Pilihan keenam, Wee Wern terpaksa bertarung empat set sebelum menewaskan lawannya dari Guyana Nicolette Fernandes 11-8, 11-7, 5-11, 11-3 pada perlawanan selama 61 minit.

"Saya berhempas pulas pada awalnya. Saya tidak dapat melihat bola atau mencari rentak.

"Saya berhempas-pulas sepanjang permainan. Dia beraksi dengan baik dan memberi banyak tekanan ke atas saya," kata Wee Wern.

Nicol dan Wee Wern akan menentang satu sama lain pada perlawanan suku akhir lewat malam tadi. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:32 AM