Kuala Lumpur: Malaysia gagal merangkul kejuaraan sulung Skuasy Berpasukan Wanita Dunia apabila kalah kepada pilihan kedua England pada perlawanan akhir di Ontario, Kanada, semalam.

Malaysia yang diketuai pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David kalah 1-2 dalam perlawanan sengit di Pusat Skuasy Mark Sachvie.

Pemain nombor 17 dunia Sarah-Jane Perry memberi mata pertama England apabila mengalahkan Delia Arnold 11-8, 11-9, 11-7 sebelum Nicol menyamakan kedudukan dengan menewaskan Laura Massaro, pemain nombor dua dunia 11-8, 11-9, 11-3.

Namun Low Wee Wern, walaupun menunjukkan permainan yang bersemangat, kalah kepada pemain nombor lima dunia Alison Waters 8-11, 7-11, 11-8, 4-11 pada perlawanan penentuan dalam tempoh 69 minit.

Kemenangan itu membolehkan England merangkul kejuaraan buat kali ketujuh selepas kejayaan pada 1985, 1987, 1989, 1990, 2000 dan 2006.

Nicol berkata, dia tetap puas hati dengan permainan pasukan negara walaupun kalah dan mengucapkan tahniah kepada England.

“Saya amat gembira dengan persembahan hari ini. Mengalahkan Laura tidak pernah mudah kerana saya perlu bermain mati-matian dan menundukkannya 3-0 satu keputusan hebat. Saya bangga meraih satu mata buat pasukan dan gembira beraksi pada final kerana ia satu impian kami.

“Wee Wern bertarung habis-habisan dan tidak mudah mengalah. Yang lain juga sudah melakukan yang terbaik,” kata Nicol

Kejayaan mara ke perlawanan akhir itu juga pencapaian terbaik Malaysia selepas sekadar menduduki tangga ketiga pada 2006, 2008, 2010 dan 2012.

Pilihan utama Mesir yang tumpas 0-2 kepada Malaysia pada separuh akhir kelmarin, menundukkan Hong Kong 2-0 pada perlawanan penentuan ketiga-keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:32 AM