Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Lapan lagi universiti awam dan swasta menerima Perakuan Status Swaakreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selepas terbukti mempunyai sistem jaminan kualiti dalaman yang kukuh dan mantap melalui Audit Institusi.

Institusi pengajian berkenaan ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Status Swaakreditasi yang diterima itu membolehkan senat universiti diberi kepercayaan oleh MQA untuk mengakreditasi sendiri program pengajian melalui sistem kualiti dalaman berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Ini termasuk akreditasi bagi 1,050 program yang ketika ini dipantau secara langsung oleh MQA, begitu juga program yang akan ditawar universiti berkenaan pada masa depan.

"Bagaimanapun, ia tidak termasuk program profesional yang masih perlu melalui akreditasi badan profesional," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Pengumuman Perakuan Status Swaakreditasi di sini, hari ini.

Selain itu, Idris berkata, melalui audit sama yang dijalankan itu, MQA turut mengekalkan Perakuan Status Swaakreditasi ke atas empat universiti awam dan empat kampus cawangan universiti luar negara yang pertama kali diberikan pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 11:08 AM