Shamsul Amree (kanan) bersama Ruzairi menandatangani plak sebagai tanda kerjasama Domino’s dan UTHM. - FOTO NSTP
Shamsul Amree (kanan) bersama Ruzairi menandatangani plak sebagai tanda kerjasama Domino’s dan UTHM. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Domino's Pizza Malaysia komited mengukuhkan tenaga kerjanya melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah inisiatif Program Jana Kerjaya-Belajar Sambil Bekerja (BSB) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Ketua Pegawai Eksekutif Domino's Pizza Malaysia, Shamsul Amree Abdul Rahman berkata, sebagai permulaan seramai 40 kakitangan sepenuh masa yang terdiri daripada pengurus cawangan serta penghantar piza akan menjalani BSB.

Katanya, usaha sama dengan UTHM itu adalah bagi tempoh tiga tahun dan ia seleras dengan aspirasi Domino's untuk mewujudkan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkebolehan.

"Kami berbesar hati berganding bahu dengan UTHM untuk program yang bukan sahaja akan membantu membina keupayaan untuk Domino's tetapi juga menyumbang ke arah pembinaan negara kita dalam pembangunan modal insan.

"Kerjasama ini membantu membuka pintu peluang kepada 'abang dan kakak Domino's' kami untuk memenuhi impian dan potensi penuh mereka di mana mereka boleh belajar sambil bekerja.

"Usaha ini adalah bukti komitmen kami dalam membolehkan pekerja kami melanjutkan kerjaya mereka dengan fleksibiliti untuk belajar sambil memperoleh pendapatan yang mampan.

"Kami mahu mereka yang menyertai syarikat ini untuk berkembang dengan Domino's Pizza sambil kami berusaha untuk menjadi Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) penghantaran mampan yang dominan di setiap pasaran," katanya kepada media di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama UTHM di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim.

Shamsul berkata, terdapat dua pilihan kursus asas ditawarkan untuk kakitangannya yang berminat melanjutkan pelajaran iaitu Kawalan Kualiti dan Jaminan Makanan atau Teknologi Operasi Restoran.

Menurutnya, selepas tamat, peserta akan dianugerahkan Sijil Kecekapan oleh UTHM yang mana kedua-dua kursus adalah sebahagian daripada kursus semasa yang ditawarkan dalam Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian kerana ia diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Rangka Kerja Kelayakan Malaysia (MQF).

Sementara itu Ruzairi berkata, TVET adalah komponen penting dalam sistem pendidikan dan latihan negara kerana ia membantu mewujudkan tenaga kerja mahir dan produktif.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama bersama Domino's Pizza Malaysia dalam usaha memperkasa pembelajaran sepanjang hayat melalui pelancaran program Jana Kerjaya ini.

"Seterusnya, program ini membolehkan warga kerjanya belajar sambil menjana pendapatan, yang mana menyediakan platform yang menarik, selaras dengan keperluan semasa.

"Kami yakin bahawa perkongsian ini akan membantu universiti dalam melahirkan graduan berkualiti serta memperkukuh kelestarian institusi pengajian tinggi khususnya dalam bidang TVET.

"Kami berharap perkongsian ini akan dilanjutkan kepada kerjasama penyelidikan sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memajukan industri dan pendidikan sistem di negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:24 PM