KEADAAN motosikal ditunggang mangsa (gambar kecil). FOTO Arifin Salleh
KEADAAN motosikal ditunggang mangsa (gambar kecil). FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang pengawal keselamatan yang baru sebulan melangsungkan majlis perkahwinan terbunuh selepas motosikal ditunggang terbabas di bulatan Kolej Yayasan Saad, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi, motosikal ditunggang S Kumaraguru, 31, hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan.

Kumaraguru yang bertugas di perumahan elit di sekitar Ayer Keroh dipercayai mengalami kecederaan di bahagian dalaman, pengsan dan terbaring di tempat kejadian hampir setengah jam sebelum ditemui orang ramai.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Melaka disahkan maut ketika menerima rawatan tidak lama selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 1:49 PM