Minat Zizie Mad Tahil, 29, dari kumpulan Fabulous Cats terserlah ketika ber­usia lima tahun apabila menjadi peserta paling muda menyertai pertandingan nyanyian sempena Pesta Rumbia di Kuala Penyu.

Pertandingan pertama disertai menjadi permulaan untuknya mencapai cita-cita menjadi pe-nyanyi. Usahanya tidak terhenti setakat itu, malah Zizie mengorak langkah menyertai beberapa pertandingan menyanyi di sekitar Sabah.

Antara pencapaian membanggakan ialah tempat ketiga Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Sabah (1999), Johan Festival Nasyid Peringkat Negeri dan Kebangsaan (2004) serta Johan Pertandingan Gema Warisan Peringkat Negeri Sabah (2004).

Mempunyai suara serak-serak basah, Zizie menyertai Bintang RTM pada 2005. Dia berjaya ke peringkat akhir dan dipilih sebagai Bintang Popular oleh penonton menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selepas pertandingan itu, Zizie mencari tapak baru untuk mengembangkan lagi kerjayanya sebagai penyanyi. Dia menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada 2009.

Walaupun hanya bertahan hingga minggu keempat, dia dilamar menjadi anggota Fabulous Cats menggantikan tempat Wangi. Itulah titik permulaan namanya semakin dikenali dan kehadirannya dalam industri diterima.

Sepanjang tempoh enam tahun tanpa lagu sendiri, Zizie mendapat khidmat Kuncidemak menghasilkan lagu solo, Antara Jodoh Dan Cinta yang dipilih menjadi lagu tema drama Jodoh disiarkan menerusi Astro Ria.

Tidak hanya membabitkan diri dalam nyanyian, Zizie berlakon teater Impak Maksima The Musical yang dipentaskan di The Esplanade, Singapura pada 17 dan 18 Oktober 2009 serta berlakon dalam filem Cuti-Cuti Cinta.

Kisah peribadi pula, Zizie pernah dikaitkan dengan Ary dan vokalis kumpulan Klangit, Yazid. Malah, Zizie dituduh perampas apabila ada wanita menghubungi media mengatakan Zizie merampas kekasihnya. Bagaimanapun, Zizie menjelaskan hubungan itu hanya sekadar rakan biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:02 AM