Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


HASRAT dua mekanik dari Kuala Lumpur untuk meluaskan pasaran dadah mereka ke Maran, terbantut apabila ditahan di sebuah gerai makan di Kampung Awah, Maran, Isnin lalu.

Serbuan polis pada 9.15 pagi itu turut menahan seorang wanita dan pelajar tingkatan tiga yang juga ahli keluarga kepada salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, pihaknya merampas 878.82 gram (g) heroin dan 12.28g syabu dianggarkan RM15,600.

“Ketika serbuan, semua mereka sedang makan di gerai itu dan dipercayai baru tiba dari ibu negara.

“Pemeriksaan ke atas kereta Proton Iswara suspek menemui heroin di dalam beg yang diletakkan di bawah alas kaki tempat duduk penumpang hadapan, manakala syabu di dalam poket jaket yang dipakai seorang daripadanya.

“Dua suspek utama berusia 25 dan 34 tahun itu sebelum ini giat aktif mengedar dadah di sekitar Kuala Lumpur dan dikatakan mahu mencuba pasaran baru di Maran,” katanya pada sidang media, hari ini.

NORZAMRI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada serbuan yang dilakukan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Maran. -Foto MUHD ASYRAF SAWAL
NORZAMRI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada serbuan yang dilakukan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Maran. -Foto MUHD ASYRAF SAWAL

Norzamri berkata, berdasarkan siasatan, supek masing-masing mempunyai enam dan empat rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

Katanya, mereka juga merancang untuk berjumpa pengedar dadah kecil-kecilan di daerah itu untuk menjual bekalan terbabit yang diperoleh dari Pulau Pinang untuk kegunaan kira-kira 1,000 penagih.

“Siasatan juga mendapati pelajar tingkatan tiga dan wanita berusia 40 tahun hanya mengikut suspek dan tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata mereka ditahan reman sehingga 1 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39(A) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 7:13 PM