Ruwaida Md Zain


POLIS merampas dadah bernilai RM5.46 juta dalam beberapa serbuan berasingan membabitkan dua kumpulan sindiket berbeza di sekitar Selangor, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan JSJN Kuala Lumpur itu membawa kepada penangkapan lapan suspek berumur antara 23 hingga 49 tahun.

"Polis menjalankan dua operasi pada 10 Julai lalu, dengan menangkap lapan suspek termasuk warga Singapura dan Vietnam, merampas sejumlah dadah, bahan kimia dan peralatan menghasilkan dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Arjunaidi berkata, operasi pertama dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana di Petaling Jaya membabitkan tangkapan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita warga Vietnam.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 548 biji pil ecstasy seberat 446 gram, ketamin (167 gram), serbuk MDMA (876.95 gram) dan 158 Erimin 5 (45.45 gram).

"Hasil saringan ujian urin mendapati empat dari suspek positif dadah. Semua suspek yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah lampau.

"Di hadapan rumah sama, jam 6.10 petang hari sama, dua lagi ahli kumpulan terbabit ditahan, suspek adalah seorang lelaki dan wanita warga tempatan berumur 25 dan 26 tahun," katanya.

Pada hari sama juga katanya, satu lagi operasi dijalankan membabitkan serbuan di sebuah hotel di Kajang dengan menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun serta merampas 180 gram dadah jenis heroin.

"Suspek yang positif dadah dan tidak bekerja mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua rekod dadah.

"Susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah jenis servis apartmen jam 10.45 malam hari sama dan merampas 12 bungkusan heroin (9.35 kilogram), satu bungkusan dadah jenis syabu (280 gram) serta satu bungkusan kafein (2.7 kilogram).

"Polis turut merampas sepucuk pistol 45 ACP serta dua kelopak peluru serta peralatan memproses dadah," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah seberat 102.04 kilogram itu adalah RM5.46 juta manakala nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM16,373 membabitkan tiga kenderaan dan wang tunai.

Katanya, semua suspek direman selama enam hingga tujuh hari bermula 11 Julai mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek dalam operasi kedua turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut untuk mengenalpasti rangkaian sindiket ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 5:20 PM