RAF beri gambaran dia gembira setiap kali bersama Mawar.
RAF beri gambaran dia gembira setiap kali bersama Mawar.
Rudy Imran Shamsudin


Pelakon utama drama bersiri Suamiku Paling Sweet, Mawar Rashid, 22, sebelum ini pernah membuat pengakuan tidak mempunyai kekasih.

Dalam temubual bersama Selebriti sebelum ini, Mawar menegaskan, selepas putus cinta awal tahun lalu, dia tidak mahu lagi memikirkan soal cinta dan cuba memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seni.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memuat naik gambarnya bersama Radan Ahmad Faizal Yaacob atau (Raf) dengan status seakan-akan memberi gambaran dia dan adik kepada selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaacob itu sedang dilamun cinta.

Raf juga kerap memuat naik gambar bersama Mawar dengan status menunjukkan betapa dia gembira apabila setiap kali berada di samping Mawar.

Mawar ketika dihubungi bagi mendapat pengesahan sejauh mana seriusnya hubungan antara mereka berdua, menegaskan buat masa sekarang, dia dan Raf masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Katanya, dia dan Raf baru berkawan dua bulan dan mereka mudah serasi serta selesa setiap kali bertemu.

“Antara saya dan Raf, kami belum lagi isytihar hubungan kami ini sama ada bercinta ataupun tidak. Buat masa ini saya senang kalau umum tahu bahawa kami berkawan.

“Saya mengenali Raf menerusi Emma Maembong, memandangkan keluarga Raf mengenali keluarga Emma sejak dulu. Emma dan Raf sendiri berkawan sejak mereka di bangku sekolah lagi.

“Disebabkan saya mengenali Raf baru dua bulan, jadi saya tidak berani untuk memberi komen lanjut. Pada saya, sebaiknya ikut saja perkembangannya bagaimana. Kalau ada jodoh dan tertulis Raf adalah lelaki yang boleh menjaga dan membimbing, saya akan terima dengan hati terbuka,” katanya.

Mengenai status dimuat naik Raf mengambarkan Mawar adalah wanita dicintai, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tundukkan Playboy Itu berkata, ia adalah gambaran perasaan teman terhadap dirinya.

Katanya, dia tidak punya hak untuk menghalang sekiranya Raf mahu memuat naik gambar dengan status sedemikian. Baginya itu apa yang dia rasa membabitkan hubungan mereka.

“Saya selesa berkawan dengannya cuma kami belum mengistiharkan apa-apa antara kami. Sekiranya kami sudah putuskan nanti, saya tidak teragak-agak untuk berkongsi mengenainya bersama perminat.

“Setakat ini biarlah kami berkawan dulu. Paling penting, antara kami gembira dengan perhubungan ini,” katanya.

Mengenai status Raf sebagai bapa tunggal kepada dua anak, Mawar tidak pernah menjadikan usia mahupun status sebagai penghalang untuk menjalin hubungan cinta.

Katanya, apa yang penting lelaki itu boleh membimbingnya menjadi lebih baik dan setia.

“Sebagai bapa tunggal, saya dapat tengok bagaimana Raf memikul tanggungjawab. Dia melayan anaknya dengan penuh kasih sayang. Raf juga lelaki yang mementingkan keluarga.

“Perkara itu membuatkan saya lagi berasa selesa kerana sebagai mana dia menjaga anak-anak dan keluarganya, sudah tentu kalau kami ada jodoh, dia juga akan menjaga saya seperti itu,” katanya.

Mawar berkata, sebelum ini dia memberitahu tidak mahu memikirkan soal cinta apatah lagi sebagai orang baru dan kini dramanya sedang disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia, dia harus fokus kepada dunia lakonan.

Katanya, dia memang pernah fikir tidak mahu bercinta buat masa sekarang tetapi tiba-tiba saja tertulis dia berjumpa dengan Raf.

“Buat masa ini rasanya saya tidak punya masalah untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya seni dan kehidupan peribadi terutama berkaitan soal cinta.

“Soal tidak faham akan kejaya seni saya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana Raf sudah cukup faham kerana abangnya juga seorang selebriti dan sentiasa sibuk.

“Kami masing-masing ada karier yang perlu diberi perhatian dan beruntungnya saya kerana Raf sudah tahu asam garam industri seni,” katanya.

Mengenai drama Suamiku Paling Sweet, Mawar bersyukur kerana sambutan diberikan penonton sangat positif. Dia akui berdebar sewaktu drama itu mahu disiarkan sebelum ini.

“Memang saya berdebar memikirkan bagaimana sambutan yang bakal diterima. Maklumlah saya berasakan sebelum ini lakonan diberikan tidak cukup. Saya pula memang mahukan kesempurnaan. Alhamdullilah, rata-rata penonton memberi maklum balas positif,” katanya.

Dalam Suamiku Paling Sweet yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.58 petang sejak 13 Februari lalu, menggandingkan Mawar bersama Syafiq Kyle.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:06 AM