MAWAR RASHID
MAWAR RASHID
Georgie Joseph


PELAKON Mawar Rashid, 25, berkongsi akhirnya memutuskan untuk bertudung selepas hasrat itu terbantut sekian lama.

Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, hidayah untuk menutup aurat itu tiba selepas dia menyertai kelas agama.

"Sudah lama saya simpan hasrat untuk menunaikan kewajipan sebagai muslimah yang baik. Namun, itulah ada saja alasannya untuk melakukan perkara wajib ini.

"Ramadan lalu, saya ada juga cuba namun hati belum kuat untuk bertudung sepenuhnya. Alhamdulillah, hidayah akhirnya sampai untuk saya selepas menghadiri kelas agama dan mendalami Islam. Doakan saya terus istiqamah untuk mendapat keredaan Allah SWT," katanya.

Pelakon Suamiku Paling Sweet itu mula mengenakan tudung sepenuhnya pada 17 Ogos lalu dan cuma berkongsi mengenainya semalam.

Mawar berkata, doa suaminya Raf Yakob juga akhirnya termakbul apabila sebelum ini sentiasa memberi kata semangat buatnya menunaikan kewajipan itu.

"Raf memang antara yang paling gembira dengan keputusan ini. Sebenarnya dia pun kerap menyarankan saya bertudung sebelum ini tapi tidaklah memaksa.

"Alhamdulillah, saya akhirnya sedar ini tanggungjawab diri sendiri dan suami tidak lekang mendoakan agar saya terus istiqamah dengan penghijrahan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 9:03 PM