TINDAKAN Korea Utara tahan rakyat Malaysia langgar prinsip hak asasi manusia.
TINDAKAN Korea Utara tahan rakyat Malaysia langgar prinsip hak asasi manusia.
Ramlah Zainal


Krisis Kuala Lumpur-Pyongyang semakin meruncing berikutan pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam bukan saja meraih perhatian rakyat Malaysia, malah hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea yang memetik kenyataan Kementerian Luar, Pyongyang melarang 11 rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara.

Mereka tidak dibenarkan meninggalkan negara itu buat sementara waktu sehingga peristiwa yang berlaku di Malaysia diselesaikan secara teratur.

Krisis berkenaan turut mendapat perhatian selebriti tempatan. Rata-rata berharap ia dapat diselesaikan secara diplomatik demi memulihkan hubungan politik kedua-dua negara.

Datuk Hans Isaac, Pelakon dan Penerbit

“Kejadian ini berlaku di negara kita dan pemimpin Korea Utara sepatutnya mematuhi dan menghormati syarat yang ditetapkan kerajaan Malaysia kerana setiap negara ada proses tertentu untuk menyelesaikan isu sedemikian.

Sebagai rakyat, kita juga tidak tahu apa sebenarnya berlaku kerana ia membabitkan isu politik Korea Utara.

Pihak negara itu yang meletakkan syarat kepada kerajaan Malaysia pada peringkat awal dan kerajaan hanya mengikut kemahuan mereka.

Secara peribadi, saya tidak bersetuju tindakan kerajaan Korea Utara menahan rakyat Malaysia keluar dari negara itu ketika ini.

Saya juga setuju dengan tindakan yang dilakukan kerajaan Malaysia untuk menangani isu ini dengan sewajarnya.

Bagaimanapun, saya berharap orang ramai terutama pengikut di laman sosial seperti di Twitter tidak mensensasikan krisis ini kerana ia bukan isu politik dalam negara kita.”

Saharul Ridzwan, Pelakon

“Bagi saya, ini satu tindakan yang tidak wajar kerana rakyat Malaysia yang dilarang keluar dari Korea Utara adalah pekerja biasa dan ini melanggar prinsip hak asasi manusia.

Terus terang saya tidak menyokong sebarang jenis penindasan atau pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Bagi saya, apa yang terjadi ini perlu diselesaikan secara diplomatik demi keharmonian bersama.”

Aaron Aziz, Pelakon

“Bagi saya, isu ini sudah membabitkan hal ehwal politik dan kita sebagai rakyat tidak tahu apa yang benar atau sebaliknya.

Oleh itu, agak sukar untuk kita hendak bercakap apa yang patut dilakukan bagi menyelesaikan krisis ini.

Apa pun langkah atau tindakan yang dilakukan kerajaan, keselamatan rakyat perlu diutamakan.”

Siti Elizad, Pelakon

“Pada pandangan saya, kita tidak seharusnya menuding jari kepada sesiapa pun untuk dipersalahkan apabila membabitkan hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara.

Sebaik-baiknya kita beri ruang dan kerjasama kepada kerajaan Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian terbaik isu ini.

Krisis Kuala Lumpur-Pyongyang perlu diselesaikan secepat mungkin demi menjaga keamanan negara serta keselamatan rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:03 AM