Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol dipercayai diplomat pertama yang di isytiharkan Malaysia sebagai persona non grata iaitu orang yang tidak dialu-alukan.

Pakar Hal Ehwal Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, pakar perundangan tempatan percaya, setakat ini belum ada diplomat lain menerima nasib sama seperti Kang Chol.

"Isytiharkan diplomat sebagai persona non grata adalah sesuatu tindakan yang sangat 'panas' dan mengundang reaksi negara lain.

"Bagaimanapun, jika ada kes-kes lain selain Kang Chol dan mereka dihalau keluar dari Malaysia, ia mungkin tidak diuar-uarkan kerana ingin menjaga air muka negara penghantar," katanya ketika ditemui hari ini.

Segalanya bermula apabila Kang Chol membuat tuduhan ke atas Malaysia mengenai kematian Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 13 Februari lalu.

Beliau gagal hadir ke Kementerian Luar apabila diminta memberi penjelasan selepas membuat tuduhan itu seterusnya diisytiharkan persona non grata dan perlu keluar dari negara ini dalam tempoh 48 jam.

Kang Chol berlepas pulang ke Korea Utara melalui Beijing menaiki pesawat Malaysia Airlines, MH360 pada 6.25 petang, 6 Mac lalu.

Pyongyang kemudiannya menghalang rakyat Malaysia keluar dari negara itu sebelum Malaysia turut mengeluarkan arahan sama terhadap rakyat Korea Utara di sini.

Menurut Dr Mohd Yazid, perkembangan itu mencetuskan konflik yang sangat membimbangkan dan pendekatan diplomasi perlu dilakukan.

"Apa yang membimbangkan jika hubungan menjadi semakin panas sehingga kita mengharapkan pihak yang berkecuali untuk mendamaikan.

“Sekiranya kita boleh menyelesaikan secara langsung itu adalah lebih baik kerana Malaysia memang dikenali sebagai negara yang sering bertindak menerusi pendekatan diplomasi," katanya.

Beliau berkata, tindakan Korea Utara menjadikan rakyat Malaysia seperti tebusan adalah sesuatu yang tidak normal dan sangat pelik.

"Kata-kata Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bahawa larangan keluar rakyat kita itu menyalahi semua norma antarabangsa dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa adalah kenyataan yang tepat.

"Sekiranya berlaku apa-apa masalah antara negara, ia perlu diselesaikan secara diplomasi dan tindakan menahan rakyat untuk kepentingan politik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya.

Beliau berkata, sejak awal Malaysia tidak melakukan sebarang provokasi atau membuat tuduhan ke atas Korea Utara, jadi tuduhan Pyongyang mengatakan Malaysia bersekongkol dengan musuh mereka adalah cukup menghampakan.

Justeru, beliau berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan positif serta Malaysia wajar mempertimbangkan semula hubungan diplomatik yang dibina sejak 44 tahun lalu.

“Kita harus tekankan penyelesaian secara aman damai. Disebalik tuduhan, mungkin kedua-dua negara perlu tekankan hubungan baik selama ini.

“Lagi satu, ahli politik Malaysia tidak perlu membuat kenyataan ‘panas’ mengenai perkara ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mencari jalan penyelesaian memastikan keselamatan 11 rakyat Malaysia di Korea Utara.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan untuk ke Macau selepas dua wanita warga Indonesia dan Vietnam menyembur dan menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 9:41 PM