Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.
Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang bekerja atau menetap di Korea Utara.

Wakil Wisma Putra yang dihubungi turut mengesahkan Malaysia sudah menutup pejabat Kedutaan Malaysia di Pyongyang dan semua kakitangannya sudah pulang ke negara ini.

"Operasi Kedutaan Malaysia di negara itu sudah digantung sejak 2017 dan tiada lagi kakitangan kedutaan berada di sana kerana mereka sudah dibawa pulang sejak itu.

"Semakan juga mendapati, tiada rakyat Malaysia yang berdaftar bekerja atau menetap di Korea Utara setakat ini," katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai rakyat Korea Utara yang bekerja atau menetap di negara ini, difahamkan buat masa ini Wisma Putra sedang membuat semakan dan mengumpulkan maklumat daripada jabatan-jabatan berkaitan.

Jumaat lalu, Korea Utara mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ia sebagai tindak balas atas tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Susulan itu, pada hari sama kerajaan Malaysia mengarahkan semua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:36 PM