GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Sandakan: Polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun bagi membantu siasatan kes seorang pemilik kebun kelapa sawit cedera ditetak dalam kejadian di Peringkat 4 Sungai Manila dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata, lelaki rakyat tempatan itu yang disyaki pencuri buah kelapa sawit ditahan di rumahnya di kampung sama pada 12.45 pagi semalam.

Dalam kejadian 7.32 malam itu, mangsa yang berusia 38 tahun luka di belakang badannya akibat ditetak dengan benda tajam.

Azhar yang ketika dihubungi hari ini, berkata kejadian berlaku ketika mangsa ke kebun kelapa sawit berdekatan rumahnya kerana ternampak cahaya lampu suluh dipercayai pencuri buah kelapa sawit.

Menurutnya, ketika mangsa berjalan dalam kebun sawitnya, dia terasa seperti ada pukulan dan hentakan di belakang badannya, namun tidak nampak sesiapa disebabkan keadaan gelap.

Mangsa kemudian berpatah balik ke rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari kebun sebelum ditemui pengsan di tepi jalan.

Azhar berkata mangsa kini dirawat di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kes disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 9:23 PM