GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor menyasarkan pemberian vaksin kepada pelajar sekolah yang layak pada akhir Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sasaran itu dibuat mengambil kira vaksinasi untuk 100 peratus penduduk dewasa Johor yang dijangka selesai menjelang akhir Oktober nanti.

Katanya, kerajaan Johor berpendirian pemberian vaksin untuk pelajar sekolah di bawah 18 tahun perlu diutamakan berbanding vaksin dos ketiga, buat masa ini.

"Lebih penting ialah pemberian vaksin kepada remaja bawah 18 tahun terutama pelajar serta mahasiswa.

"Oleh itu, kita harap kerajaan Pusat akan menyegerakan dasar pemberian vaksin kepada pelajar bawah 18 tahun.

"Sekiranya keperluan dos ketiga diperlukan, saya percaya kerajaan Pusat akan membentuk satu dasar khusus bagi meningkatkan antibodi atau daya ketahanan diri rakyat terutama barisan hadapan yang sudah terima dos lengkap.

"Bagaimanapun, kerajaan Johor akan mengikut rapat perkembangan dasar dos ketiga yang akan dibuat kerajaan Pusat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas) pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Tung Siong bertanya sama ada kerajaan Johor bercadang memberikan vaksin dos ketiga kepada barisan hadapan di negeri ini yang berisiko tinggi.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, sehingga semalam, seramai 83.08 peratus atau 2,253,168 penduduk dewasa di Johor menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Manakala sebanyak 52.61 peratus atau 1,426,866 penduduk dewasa Johor sudah lengkap dua dos semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 11:00 AM