Ahmad meninggalkan DUN Terengganu selepas usul beliau ditolak oleh Zubir di Sidang DUN Terengganu ke-13 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Ahmad meninggalkan DUN Terengganu selepas usul beliau ditolak oleh Zubir di Sidang DUN Terengganu ke-13 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang diusulkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Mohd Zubir menolak usul itu mengikut Perkara 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu dengan alasan Ahmad tidak mengemukakan notis.

Sebaik usul ditolak Mohd Zubir, suasana dewan hangat sehingga mengundang pertikaman lidah antara pembangkang dan speaker selepas ADUN pembangkang mempertikaikan Mohd Zubir yang didakwa tidak telus, menyebabkan ADUN BN bangkit mencelah menyokong Mohd Zubir.

Sementara itu, Ahmad yang ditemui di luar dewan menyatakan tidak puas hati dan kesal terhadap apa yang berlaku di Terengganu kerana baginya ia bagai sebuah negeri yang tiada perlembagaan.

Ketika ditanya apakah faktor yang menyebabkan beliau mengemukakan usul undi tidak percaya itu, beliau berkata, ia berpunca daripada banyak sebab seperti tidak berpuas hati mengenai isu penamatan e-Book, isu telaga minyak Bertam 307 yang didakwa milik Terengganu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang belum dikenakan kutipan tol sehingga kini dan isu perumahan di kawasan Ladang.

Dalam pada itu, Ahmad menafikan akan keluar UMNO walaupun kecewa dengan isu itu melainkan beliau dipecat oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri.

"Saya tak akan keluar UMNO, kecuali dia pecat saya. Saya orang BN (Barisan Nasional), orang UMNO. Saya memang kecewa," katanya.

Dewan ditangguh kira-kira 3 petang dan bersambung semula pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 5:54 PM