DAVIES (kanan) sedia beraksi bersama skuad negara.
DAVIES (kanan) sedia beraksi bersama skuad negara.
myMetro

Kuala Lumpur: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan yang menghalang rombongan Harimau Malaysia ke Pyongyang amat melegakan pemain kebangsaan yang sebelum ini mengakui agak bimbang dengan kunjungan mereka ke negara itu pada 28 Mac ini.

Malah, tidur malam beberapa pemain skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee juga agak terganggu memikirkan perkara itu.

Menurut pertahanan kanan negara Matthew Davies, selaku pemain profesional sememangnya dia harus bersedia dari segi mental dan fizikal, namun sebagai manusia biasa perasaan ‘cuak’ tetap menghantui dirinya.

“Sudah pasti keputusan FAM tidak menghantar pasukan ke sana (Pyongyang) bagi saya amat tepat dan ia secara tidak langsung akan memberi pemain lebih fokus menghadapi aksi itu.

“Kami tahu akan risiko keselamatan di sana, jadi pemain tidak perlu memikirkan perkara lain mengenai keselamatan lagi.

“Malah saya bersedia untuk memikul tanggungjawab beraksi menentang Korea Utara seandainya terus diberi kepercayaan oleh jurulatih (Datuk Ong Kim Swee),” kata ketua pasukan Pahang itu kepada Arena Metro, semalam.

Skuad kendalian Kim Swee sebelum ini dijadualkan menentang Korea Utara pada aksi sulung Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il Sung, Pyongyang hujung bulan ini.

Nada sama turut diluahkan penjaga gol kebangsaan, Khairul Azhan Khalid yang menyifatkan halangan kerajaan untuk pasukan beraksi di sana tepat dan bijak.

“Kalau nama saya naik untuk latihan pusat bermula Isnin ini, mungkin rasa was-was nak pergi (Pyongyang) itu ada. Tapi apabila FAM umumkan tidak hantar bermain ke sana, saya rasa sikit lega kerana ia membabitkan soal keselamatan kami,” kata penjaga utama Selangor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 8:54 AM