Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan aksi kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac ini ditunda ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kemudian.

Menerusi kenyataan media yang diedarkan badan induk bola sepak Asia itu hari ini, Jawatankuasa Pertandingan AFC bersetuju untuk menunda aksi itu selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk isu keselamatan yang menjadi kebimbangan utama AFC.

Sebelum ini, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dijadualkan menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang penghujung bulan ini.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu Kerajaan Malaysia melarang skuad negara berlepas ke Pyongyang, susulan hubungan tegang kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang pada 13 Februari lalu.

Susulan larangan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin bertindak pantas mengemukakan permohonan kepada AFC untuk bermain di gelanggang berkecuali bagi menghormati keputusan Kerajaan Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:18 PM