TITANS menanti keputusan kerajaan negeri berkaitan kaedah penjenamaan. FOTO/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
TITANS menanti keputusan kerajaan negeri berkaitan kaedah penjenamaan. FOTO/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Malik Muhamad


T-TEAM belum memutuskan mengenai rombakan pemain, sebaliknya menunggu ‘lampu hijau’ kerajaan negeri berkaitan kaedah penjenamaan semula pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Dalam masa sama, T-Team yang berhempas pulas untuk kekal di saingan Liga Super juga bimbang pemain utamanya akan disambar pasukan lain, kerana mereka belum mendapat maklumat jelas berkaitan penjenamaan semula itu.

Penolong jurulatihnya, Mohd Azhari Salim berkata, setakat ini, pengurusan T-Team belum lagi mendapat maklumat terkini dan kaedah penjenamaan semula pasukan The Titans.

“Oleh sebab itu, kami belum memutuskan status pemain sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya kerana masih belum dapat ‘lampu hijau’ kerajaan negeri.

“Jadi, semua pemain akan menyambung semula latihan bermula 15 November ini, kerana mereka masih mempunyai kontrak bersama pasukan sehingga hujung bulan ini.

“Apabila kita mendapat maklumat sebenar berkaitan penjenamaan semula itu nanti, barulah kita akan membuat keputusan terhadap pemain, sama ada khidmat mereka masih diperlukan ataupun sebaliknya,” kata Azhari.

RAHMAD (tengah) ketika mengendali Titans pada aski menentang Selangor. FOTO/OSMAN ADNAN
RAHMAD (tengah) ketika mengendali Titans pada aski menentang Selangor. FOTO/OSMAN ADNAN

Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat memaklumkan kerajaan negeri akan melakukan penjenamaan semula terhadap pasukan T-Team dan Terengganu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Penjenamaan semula pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu) dan Rahmad Darmawan (T-Team) itu perlu kerana kedua-dua pasukan berkenaan gagal menjulang sebarang trofi dalam masa 10 tahun terakhir termasuk musim ini.

Dengan penjenamaan itu juga nama pasukan itu akan berubah, selain akan ada pasukan utama dan kedua.

Setakat ini pasukan ‘abang’ Terengganu sudah pun melakukan rombakan ke atas pemainnya.

Mengulas lanjut, Azhari berkata, setakat ini enam pemain utamanya sudah diintai beberapa pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana.

“Jika kita tidak tawarkan kontrak kepada mereka lebih awal berkemungkinan pemain berkenaan meninggalkan The Titans untuk mewakili pasukan lain,” katanya.

TERENGGANU sudah merombak semua pemainnya. FOTO/GHAZALI KORI
TERENGGANU sudah merombak semua pemainnya. FOTO/GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 12:33 PM