ANGGOTA APM Kulim memantau rumah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan APM.
ANGGOTA APM Kulim memantau rumah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan APM.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan paras air di Sungai Kob, di sini meningkat mengakibatkan banjir kilat di lima kawasan di daerah itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, kejadian banjir kilat itu membabitkan 50 rumah terdiri dari 200 mangsa.

Beliau berkata, antara kawasan terjejas termasuk di Perumahan Awam Karangan, Kampung Bonggol Penyengat, Kampung Baru Sungai Kob, Kampung Padang Limau dan Kampung Padang Janggus.

"Hujan lebat sejak 6.30 petang semalam mengakibatkan paras air Sungai Kob naik, malah jambatan yang menjadi laluan utama di situ turut tenggelam.

"Berdasarkan pemantauan anggota kami, aliran air Sungai Kob didapati bergerak perlahan namun semakin meningkat disebabkan keadaan hujan renyai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Mohd Fadhil berkata, seramai 20 anggota APM Kulim sudah diarahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan tugas pemantauan dan membantu mangsa.

Menurutnya, selain APM, Pejabat Daerah dan Tanah Kulim serta PDRM turut terbabit untuk membantu penduduk kampung yang terjejas.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa walaupun air surut kerana bimbang air akan naik semula sekiranya hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 10:36 AM