Oleh Siti Zarinah Sahib


Fesyen berputar mengikut peredaran zaman. Setiap tahun ada saja rekaan serta potongan diketengahkan sehingga mendapat liputan meluas pelanggan. Jika 2014 menyaksikan kehadiran pelbagai jenis selendang serta jubah mewarnai pasaran fesyen semasa, kedatangan 2015 pastinya ditunggu-tunggu wanita yang sudah tentu mengharapkan kelainan serta keistimewaan pada padanan mereka.

Bertemakan gaya urban, moden, elegan dan unik jenama terbaru Chemboja menawarkan pelbagai koleksi fesyen wanita daripada hujung rambut hingga kaki. Melihat setiap helaian busana yang tersarung pada tubuh peragawati tinggi lampai ini jelas menggambarkan rekaan yang unik serta lain daripada yang lain. Ia bukan saja ditujukan kepada wanita Muslimah, tetapi boleh dipakai sesiapa saja yang inginkan gaya anggun, namun masih mengekalkan nilai kesopanannya.

Menurut Pengasas Chemboja, Nis Ibrahim, dia terpanggil untuk mengetengahkan koleksi Chemboja kerana menyedari kekurangan kuantiti dan kualiti dalam pasaran fesyen 'urban-chic' khususnya wanita berhijab. Juga ditambah kekeliruan identiti pelbagai jenama sedia ada di pasaran kerana semuanya menampilkan rekaan yang sama sehingga menenggelamkan elemen eksklusif pada busana itu.

"Saya akui fesyen hijab dengan busana jubah dan gaun labuh mengambil alih trend semasa. Ini menjadikan apa saja yang dihasilkan bersifat sama. Untuk itu, saya terfikir memperkenalkan Chemboja kerana ia lain daripada yang lain apabila memperlihatkan gaya urban chic tetapi sopan supaya wanita yang inginkan gaya sebegini memiliki pelbagai pilihan. Tambahan pula kebanyakan pilihan fesyen Muslimah yang sedia ada kurang fleksibel dari segi saiz dan kesesuaian majlis," katanya.

Tambahnya lagi, Chemboja direka bagi penggemar fesyen yang sukakan gaya eksklusif dan kelihatan anggun ketika menggayakannya. Melihat fabrik yang beralun cantik ketika digayakan sudah pasti ia menggunakan material berkualiti.

Jelas Nis, keindahan busana sudah tentu datangnya daripada fabrik terbaik dan tahan lasak. Justeru, dia menggunakan 100 peratus kain kapas untuk setiap himpunan. Kemudian disulam dengan seni jahitan halus supaya potongannya kekal memikat. Kain Kapas sesuai digayakan dalam keadaan cuaca panas dan hujan di Malaysia. Malah warna memikat sama ada terang atau lembut pastinya sesuai digandingkan bersama.

Lebih menarik apabila pereka memikirkan mengenai busana yang mampu dipakai dalam acara kasual atau santai.

Oleh itu terhasillah koleksi untuk ke pejabat, majlis keramaian, perkahwinan mahupun majlis rasmi yang pastinya mencuri tumpuan.

Antara yang diketengahkan adalah gaun labuh disertakan perincian tali pinggang, seluar dan blaus serta skirt berbentuk wrap bagi memudahkan wanita memakainya mengikut kesesuaian ukuran pinggang mereka. Keistimewaan pada gaun labuh apabila menitikberatkan pada potongan yang longgar serta perincian pada bahagian tertentu. Lebih penting rona polos mudah digandingkan bersama selendang.

Selain pakaian, jenama ini turut menyediakan pelbagai jenis selendang daripada fabrik sifon dan sutera yang boleh dipakai mengikut ikatan sendiri sama ada labuh atau serban. Ia mudah dibentuk kerana ciri fabrik yang lembut dan senang digayakan.

Chemboja turut menawarkan peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk bersama-sama membantu menaikkan imej usahawan di Malaysia terutama dalam industri fesyen dan pakaian.

Chemboja turut memberikan potongan 20 peratus mulai 1 Januari sehingga 31 Januari sama ada secara pembelian dalam talian atau di butik yang terletak di tingkat 1, Keramat Mall, tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk mengetahui lebih lanjut boleh melayari www.chemboja.com atau Facebook dan Instagram Chemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:06 AM