TAMPAK manis digayakan sesuai dengan ciri gadis ketimuran.
TAMPAK manis digayakan sesuai dengan ciri gadis ketimuran.
Nurul Husna Mahmud


DULUNYA songket yang mempunyai motif dan warna tertentu hanya boleh digayakan golongan berkedudukan serta strata tertinggi dalam masyarakat.

Teknik pembuatannya yang cukup halus menerusi kaedah menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera menzahirkan pengolahan corak atau hasil tenunan yang indah.

Penghasilan songket yang kini beralih kepada penggunaan benang kapas membuatkan busana tradisi ini mula dipakai golongan kebanyakan.

Malah, ia menjadi busana pilihan dalam acara penting dan keraian yang mana dapat menonjolkan elemen keayuan serta kesantunan gadis timur sebaik digayakan.

Tidak hairan pereka fesyen tempatan, Nik Hafiz Afandi, 34, memilih fabrik itu menjadi material utama untuk tiga gaya dalam koleksi raya yang mengambil inspirasi daripada busana istana.

Kata Nik Hafiz, dia terkesan dengan kerumitan dan ketelitian kerja pertukangan tenunan tangan dapat menghasilkan bingkisan fabrik songket yang cukup menarik serta tidak luput ditelan zaman.

"Songket bagi saya adalah material atau fabrik istimewa. Penghasilan fabrik ini menggunakan hasil kerja tangan dan kemahiran tenunan tinggi menjadikan setiap motif dihasilkan tersusun kemas serta menarik.

"Suatu ketika dahulu reputasi songket ini hanya dikenakan oleh golongan istana dan bangsawan. Malah, penampilan busana songket digayakan untuk majlis istimewa termasuk acara perkahwinan.

"Melihat peranan fabrik ini suatu ketika dahulu memiliki kedudukan istimewa, menyebabkan saya terpanggil untuk mengabdikan material songket untuk digayakan ketika perayaan.

"Maklumlah selain raya itu sendiri yang sangat nostalgia dan antara momen penting yang diraikan bersama keluarga serta kenalan. Jadi, fabrik ini mampu menjadikannya lebih istimewa jika digayakan sebagai busana raya," katanya.

Tambah pereka itu, dia juga lebih selektif dalam pilihan fabrik songket yang digunakan dalam rekaan busana raya kali ini iaitu menggunakan songket rekaan bunga penuh bagi kesesuaian pemakai masa kini.

"Songket rekaan bunga penuh dipilih kerana ia sesuai dipadankan dengan penggunaan fabrik lain. Ada kombinasi songket bersama kain kapas, sutera tempatan, sutera Thailand dan lain-lain untuk beri 'mood' kontemporari dalam rekaan klasik.

"Ini kerana rekaan kali ini untuk busana raya berbeza dengan rekaan busana pengantin yang mana selalunya saya memilih menggunakan songket jenis bunga tabur untuk digunakan pada keseluruhan baju.

"Maklumlah raya ada pelbagai faktor perlu difikirkan dan tidak hanya untuk '

melaram' sebaliknya suasana raya yang mana busana itu akan dipakai seharian menyebabkan saya memikirkan penggunaan songket lebih 'ringan' dalam rekaan baju," katanya.

Tambah Nik Hafiz, meskipun langkahnya memilih fabrik songket sebagai material utama adalah satu risiko kerana ramai keberatan mengenakan fabrik itu kerana dilihat kurang selesa.

"Memang ada juga kebimbangan terhadap penerimaan orang mengenai rekaan baju raya kali ini yang menggunakan songket.

"Namun, saya anggap itu cabaran bagi membantu generasi sekarang menerima fabrik songket seperti fabrik lain. Antara inisiatif untuk menjadikan songket ini selesa digayakan ialah dengan alas atau lapik kain terbabit.

"Meskipun ia menambahkan lagi kerja perincian pada baju, saya tidak kisah kerana mahu memberi peluang kepada orang ramai mengenakan busana songket dengan pengalaman yang lebih baik.

"Pemakai busana songket tidak perlu lagi bimbang dengan rasa panas atau keadaan kurang selesa apabila kain lebih selesa dijadikan alas," katanya.

Nik Hafiz turut mengakui, dia masih menggemari potongan busana tradisi iaitu kebaya sebagai konsep utama untuk ditampilkan pada raya kali ini.

"Matlamat saya dengan rekaan busana ini ialah mahu pemakai dapat mengimbau suasana raya di masa silam.

"Jadi, rekaan baju itu juga cenderung kepada gaya yang popular kepada zaman berkenaan iaitu baju kurung atau kebaya labuh.

"Meskipun sudah ratusan tahun busana kurung mahupun kebaya digayakan orang terdahulu, namun masih kekal sebagai trend popular digayakan kebanyakan wanita generasi sekarang dari pelbagai peringkat usia.

"Saya ubah potongan kebaya labuh kepada kebaya pendek mengikut kesesuaian masyarakat sekarang yang mahu rekaan lebih santai serta kasual.

"Malah, mengubah penggunaan kebaya songket kepada labuh yang lebih pendek memberi imej lebih moden dan nampak lebih sesuai untuk digayakan ketika raya," katanya.

Melengkapkan gaya pemakai supaya persis gadis penuh dengan adat ketimuran, pereka itu juga tampilkan selendang.

"Selendang juga antara aksesori yang saya muatkan dalam koleksi busana raya kerana mahu pemakai melaram dengan selengkapnya.

"Bagi yang bertudung, mereka boleh gunakan selendang ditampilkan bersama koleksi berkenaan sebagai padanan gaya hijab yang serasi atau sedondon," katanya.

Tambah pereka itu juga, busana berkenaan bukan sahaja sesuai untuk wanita Melayu, malah masyarakat lain seperti gadis Cina, India dan kaum lain turut kelihatan 'manis' mengenakannya untuk tampil dalam majlis rasmi atau keraian.

"Tiga rekaan yang saya tampilkan bagi busana raya kali ini turut manis digayakan wanita dari kaum lain. Malah, ketika sesi penggambaran untuk koleksi ini di Hotel Swiss Garden Bukit Bintang baru-baru ini, saya menggunakan tiga model bukan Melayu iaitu Wen Wei, Linsey Kayy dan Poorani Rajoo yang juga finalis ratu cantik Miss Intercontinental Malaysia 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 7:00 AM