KEMUDIAN lebihan dililit seperti rambut digulung untuk disanggul.
KEMUDIAN lebihan dililit seperti rambut digulung untuk disanggul.
Nurul Husna Mahmud


PEMAKAIAN turban dalam kalangan wanita berhijab selalu dikaitkan dengan gaya muslimah yang lebih 'urban' dan moden.

Tidak hairanlah gaya hijab itu lebih popular dan diterima baik untuk penggayaan wanita muslimah di Barat atau Eropah kerana konsep 'kesederhanaan' (modesty) dalam fesyen itu menyebabkan ia diterima baik masyarakat di sana.

Apatah lagi pemakaian digandingkan dengan denim atau kot musim sejuk, gaya bertudung itu tampak lebih berani, stailo dan ranggi.

Di sebalik aura moden yang disuntik dalam pemakaian turban, tidak bermakna busana tradisi tidak sepadan dengan gaya hijab itu.

Untuk mereka yang inginkan kelainan dalam penampilan raya kali ini, tip turban dikongsi 'mahaguru' fesyen turban Malaysia, Yani Bakhtiar boleh membantu mencipta gaya turban yang sesuai mengikut cita rasa anda.

Kata pereka berusia 62 tahun itu, ramai wanita di Malaysia mahu mencuba mengenakan turban tetapi tidak yakin sama ada gaya hijab itu tampak cantik atau sebaliknya.

"Di Malaysia, turban hanya digayakan sekelompok kecil wanita yang berani dalam berfesyen atau mahu ketrampilan lebih moden.

"Tidak kurang juga golongan wanita yang sedang melakukan 'penghijrahan' dari imej tidak bertudung kepada bertudung dengan pengenalan awal mereka kepada umum menerusi pemakaian turban sebelum berlitup penuh.

"Untuk sebahagian besar wanita pula, mereka berminat atau menyimpan hasrat untuk mengenakan turban tetapi takut dengan hasilnya sama ada sesuai dengan bentuk muka dan penampilan mereka atau sebaliknya.

"Pemikiran itu menyebabkan mereka berasakan mengenakan turban itu suatu yang sukar untuk digayakan walaupun ia mudah," katanya.

Ketika ditemui di ruang pamer rekaan terbarunya di Metrojaya, Midvalley Megamall Kuala Lumpur baru-baru ini, pereka itu menampilkan demonstrasi empat gaya turban mudah.

"Penggayaan turban lebih mudah disesuaikan mengikut konsep atau rekaan busana digayakan seseorang itu. Contohnya jika mereka mengenakan busana tradisi seperti kebarung atau kebaya, saya padankan dengan turban gaya lebih elegan.

"Dalam gaya pemakaian turban elegan, untuk ikat turban itu seolah-olah seperti mengikat sanggul. Kenakan pin di bahagian belakang selendang dan lilit baki kain seperti menyemat sanggul.

"Sementara itu, gaya turban lebih kasual seperti penampilan raya dengan abaya, blaus atau gaun labuh, gaya pemakaian turban 'Modesty' menjadi pilihan.

GAYA modesty perlu merapatkan dua sisi kain di bahagian anak rambut depan.
GAYA modesty perlu merapatkan dua sisi kain di bahagian anak rambut depan.

"Ketiga adalah konsep ikatan atau gaya turban glamor yang mana rekaan atau potongan turban itu dengan sengaja meninggikannya," katanya.

Faktor lain seperti latar belakang pemakai sama ada golongan wanita bekerjaya atau anak gadis sunti juga membuatkan penggayaan turban adalah berbeza.

"Satu lagi konsep atau gaya turban 'Modesty' dikenakan model, Dania Iza Hijazi Ahmad Ridhaudin, 16, lebih sesuai dengan imejnya. Lebihan selendang digayakan seperti ikatan 'pony tail' sesuai dengan imej masih muda remaja.

"Dari segi pemilihan kain sebaiknya menggunakan fabrik kapas dan elak penggunaan fabrik licin seperti satin.

"Saya hanya menggunakan kerongsang dan getah rambut sebagai alat menggayakan turban untuk model," katanya.

Pengalaman Yani dalam penggayaan turban itu disifatkan bertaraf antarabangsa apabila aktif menyertai beberapa pertunjukkan fesyen di Eropah dan Barat seperti di London Fashion Week atau New York Fashion Week sejak tahun 2015 lagi.

Bagi Dania Iza Hijazi, mengenakan turban 'menguatkan' lagi imejnya untuk tampak elegan dan moden.

"Sebagai model muslimah, saya perlu lebih menonjol kerana persaingan yang sengit terutama daripada model yang berpengalaman dan profesional.

"Apatah lagi dalam usia yang masih muda, saya perlukan sesuatu yang dapat membuatkan penampilan tampak lebih matang dan pemakaian turban bantu bina imej itu.

"Dari segi penggayaan turban Yani Baktiar, saya memang kagum kerana beliau sangat kreatif untuk pelbagai gaya turban.

"Beliau boleh siapkan 25 gaya turban berbeza dalam masa 30 minit," katanya.

Sementara itu, peminat gaya turban berpeluang mempelajari gaya hijab berkenaan apabila pereka itu akan tampil membuat demonstrasi turban di Metrojaya, Lalaport esok (9 April).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 7:00 AM