AP

Bangkok: Pembalingan duit syiling ke dalam kolam membawa kesengsaraan kepada seekor penyu sehingga doktor di Thailand terpaksa mengeluarkan 915 duit syiling yang ditelannya.

Doktor haiwan di sini mengendalikan pembedahan semalam ke atas penyu betina berusia 25 tahun bernama ‘Bank’ yang menelan duit syiling dibaling ke dalam kolamnya.

Bererapa warga Thai percaya membaling syiling kepada penyu akan membawa umur panjang.

Duit syiling yang ditelan itu akhirnya membentuk bola di dalam perut penyu seberat 5 kilogram. Ia turut menyebabkan kerekahan pada kulit penyu serta mengakibatkan jangkitan yang mengancam nyawa.

Lima pakar bedah daripada fakulti veterinar Universiti Chulalongkorn mengambil masa empat jam bagi mengeluarkan syiling ketika Bank berada di bawah bius am.

Syiling itu terpaksa dekeluarkan sedikit demi sedikit melalui potongan 4 sentimeter kerana terlalu besar untuk dekluarkan sekaligus.

Kebanyakan syiling itu sudah berkarat atau hampir larut.

Pakar bedah, Pasakorn Briksawan berkata, pembedahan itu berjalan secara lancar dan memuaskan.

“Kini pemulihan Bank terpulang kepadanya,” katanya.

DOKTOR haiwan Thailand memulakan pembedahan untuk mengeluarkan syiling daripada perut penyu. FOTO Reuters
DOKTOR haiwan Thailand memulakan pembedahan untuk mengeluarkan syiling daripada perut penyu. FOTO Reuters

Bank dibawa ke doktor haiwan oleh tentera laut yang menemuinya sakit di kampung tepi laut.

Doktor haiwan hanya dapat mengesan masalah berat Bank selepas pengimbasan 3D.

Selain syiling, mereka turut menemui dua mata kail yang turut dikeluarkan semalam.

Media Thailand mula menyiarkan kisah Bank bulan lalu selepas ia ditemui. Akibat itu, orang ramai menderma kira-kira 15,000 baht (RM1,904) untuk pembedahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:20 AM
PENYU bersebalahan syiling yang dikeluarkan dari perutnya selepas pembedahan. FOTO Reuters
PENYU bersebalahan syiling yang dikeluarkan dari perutnya selepas pembedahan. FOTO Reuters