ANTARA koleksi mata wang purba jongkong berbentuk burung yang terdapat di Galeri Nurismatik Bank Negara Malaysia. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
ANTARA koleksi mata wang purba jongkong berbentuk burung yang terdapat di Galeri Nurismatik Bank Negara Malaysia. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
Aniza Zainudin


PENGGUNAAN material bernilai tinggi seperti emas dan perak sebagai komposisi utama pembuatan duit syiling yang digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat Eropah sejak 500 tahun Sebelum Masihi. Perubahan masa mencetuskan revolusi ciri keselamatan bagi penghasilan duit syiling hingga hari ini.

Sekeping duit syiling dolar dinilai bersamaan 27 gram perak, kemudiannya ia ditempa berlatarkan gambar pemerintah.

Oleh kerana komposisi wang syiling diperbuat daripada emas dan perak tulen, membuatkan ramai dalam kalangan masyarakat Eropah mencuri material bernilai itu menerusi kaedah yang sangat licik.

Satu daripada caranya, duit syiling emas dan perak diletakkan di dalam kantung diperbuat daripada kulit selain diletakkan di pedati kuda.

Apabila kereta kuda berjalan, ia akan mencetuskan geseran hingga menghakis habuk emas atau perak daripada bentuk asalnya.

Hasil daripada pencurian itu, debu dan habuk emas atau perak itu akan dijadikan aksesori perhiasan lain seperti cincin. Selain itu, kaedah pemotongan duit syiling antara yang popular, sekali gus membuatkan nilai mata wang ini berubah.

Rentetan daripada peristiwa ini, pemerintah ketika itu tampil mewujudkan sistem mata wang yang standard berbentuk bulat dilengkapi ciri keselamatan di sekeliling duit syiling.

Hasil penceritaan Kurator Galeri Numismatik, Bank Negara Malaysia, Wan Muhammad Danial Wan Omar ini membawa kepada perkongsian ciri keselamatan yang terkandung pada wang syiling Malaysia.

“Setiap mata wang mempunyai ciri keselamatan sama ada duit syiling mahupun wang kertas. Seperti duit syiling siri ketiga Malaysia yang dikeluarkan pada 2012 hingga kini, terdapat beberapa penambahbaikan keselamatan jika dibandingkan dua siri terdahulu.

PENAMBAHBAIKAN keselamatan siri ketiga duit syiling. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
PENAMBAHBAIKAN keselamatan siri ketiga duit syiling. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.

“Duit syiling 50 sen umpamanya mempunyai imej pendam (watermark) yang ditempa di bahagian belakang dan reka bentuk sekelilingnya yang berlekuk sembilan. Duit syiling 20 sen bergerigi manakala reka bentuk sekeliling duit syiling lima dan 10 sen pula licin.

“Selain itu, duit syiling lima sen dan 10 sen juga memiliki sifat magnetik kerana ia diperbuat daripada besi tahan karat. Perbezaan bagi setiap denominasi ini menjadi ciri keselamatan wang syiling berkenaan.

“Berbanding dua siri lebih awal, perkembangan keselamatan duit syiling Malaysia bukan saja terletak pada saiz lebih kecil dan ringan sebaliknya material serta motif yang digunakan.

“Bagi siri pertama yang dikeluarkan pada 1967, kita menggunakan tema bangunan Parlimen pada semua denominasi wang syiling termasuk satu, lima, 10, 20, 50 sen dan RM1 dihiasi bersama lambang bintang dan bulan serta penggunaan bunga raya sebagai bunga kebangsaan Malaysia.

DUIT syiling keluaran Jepun yang dipercayai dikeluarkan pada 1942 yang tidak sempat digunakan
DUIT syiling keluaran Jepun yang dipercayai dikeluarkan pada 1942 yang tidak sempat digunakan

“Tempoh penggunaan selama 22 tahun, pembuatan duit syiling ini menggunakan material tembaga, keluli terlapis kuprum (copper clad steel) bagi syiling satu sen dan kupronikel (cupronickel) bagi duit syiling lima sen hingga RM1.

“Siri kedua dikeluarkan pada 1989 hingga 2012 pula memilih tema artifak kebudayaan sejarah apabila memilih motif rebana ubi (satu sen), gasing pantai timur (lima sen), congkak (10 sen), tepak sirih (20 sen), wau bulan (50 sen) dan keris Semenanjung (RM1).

“Berdasarkan kajian diterima berkenaan duit syiling, BNM tampil mengeluarkan duit syiling yang lebih ringan menggunakan material seperti besi tahan karat (lima dan 10 sen), loyang nikel (20 sen) dan loyang nikel terlapis kuprum (nickel brass clad copper) bagi duit syiling 50 sen. Menariknya, warna setiap syiling ini terhasil daripada rona asal bahan mentah yang digunakan,” katanya ketika ditemui.

Merujuk kepada sejarah penggunaan duit syiling di Tanah Melayu, Wan Muhammad Danial mengakui penggunaannya dimulakan sejak abad ke-8 Masihi yang menggunakan mata wang kerajaan Srivijaya kerana pemerintahan Kedah Tua terletak di bawah naungan kerajaan berkenaan.

“Kedudukan strategik Tanah Melayu sesuai sebagai perhentian perdagangan popular dan menjadi pintu masuk utama kepada pedagang luar membuatkan kita terdedah kepada dunia luar, terutama China.

“Ini antara faktor utama duit tembaga China yang berbentuk bulat dan berlubang segi empat di bahagian tengahnya digunakan secara meluas di Tanah Melayu sejak abad ke-8 hingga ke-15.

“Kemudian, sekitar 1201 hingga 1236, barulah kerajaan Kesultanan Melayu iaitu Kerajaan Kedah mula mengeluarkan duit syiling perak namun tidak banyak ia dijumpai.

LADANG bunga matahari, saujana mata memandang.
LADANG bunga matahari, saujana mata memandang.

“Diikuti Kesultanan Melayu Melaka yang mengeluarkan syiling pitis pada 1445 disusuli Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan negeri lain. Setiap duit dan material digunakan adalah berbeza, antaranya timah, tembaga, perak dan emas.

“Selain duit syiling ini, Tanah Melayu juga menggunakan kulit siput gerus dalam pembelian kecil dan nilainya jauh lebih murah berbanding timah. Digunakan secara meluas, kulit siput gerus ini berasal dari kepulauan Maldives dan Borneo,” katanya.

Katanya, bermula pada 1967, Malaysia mula mengeluarkan mata wang sendiri dan memperkenalkan siri pertama wang kertas dan duit syiling di bawah Bank Negara Malaysia yang sebelum ini dikendalikan oleh Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya dan Borneo British.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Muzium, Galeri Seni dan Pusat Pengurusan Bank Negara Malaysia, Noreen Zulkepli berkata, Galeri Numismatik ditubuhkan pada 2011 namun sejarah awal bermula sekitar 1980-an dengan penubuhan galeri kecil yang fokus mengenai numismatik.

Kini mempunyai enam galeri tetap, Noreen menyifatkan Galeri Numismatik adalah pusat pembelajaran tidak formal yang berkonsepkan interaktif dan inklusif apabila ia juga mesra orang kurang upaya (OKU) dengan pelaksanaan inisiatif multisensori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 10:26 AM