Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: “Jika ia sudah dilancarkan di Malaysia, saya nak beli untuk ayah saya.”

Demikian kata bekas pengguna telefon bimbit Nokia 3310, KahTzyy Kien, 30, mengenai versi terbaru model itu yang dilancarkan di Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) 2017 di Barcelona, Ahad lalu.

Menurutnya, dia mula menggunakan Nokia 3310 yang dibelikan oleh ayahnya ketika berusia 14 tahun.

“Dulu saya pernah menggunakan Nokia 3310 yang dihadiahkan oleh ayah. Mengenai versi terbaru ini, saya tak tahu sangat sebab belum pernah tengok secara terus. Kalau ia memiliki spesifikasi yang menarik, saya pasti akan beli. Malah harganya agak murah berbanding telefon bimbit yang lain,” katanya.

Eksekutif IT, Fahmi Nazar, 32, berkata dia tidak berminat untuk memiliki telefon bimbit ikonik ini kerana ia bukanlah telefon pintar.

“Saya tak pasti mengenai spesifikasi versi terbaru ini, tapi ia memiliki reka bentuk yang ringkas. Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, ia nampak lebih menarik.

“Tapi memandangkan ia bukanlah ‘smartphone’, saya tak akan beli,” katanya.

Suri rumah, Asdilla Anor, 35, juga kurang berminat dengan Nokia 3310 versi terbaru kerana pembaharuan yang dibuat pada versi kali ini tidak begitu mengujakan.

“Saya pernah guna Nokia 3310 sekitar 20 tahun lepas, ketika itu baru masuk kolej. Bagi saya, versi terbaru ini nampak menarik dari segi reka bentuk tapi bukan pada teknologi. Maklumlah, zaman sekarang pengguna memerlukan pelbagai aplikasi seperti Whatsapp dilengkapi dalam telefon pintar mereka. Walaupun harganya murah, tapi sepatutnya ia boleh dilengkapi dengan spesifikasi yang lebih baik,” katanya.

Menurut Pustakawan, Nur Anis Mahadzir, 29, dia akan membeli telefon ikonik ini untuk dijadikan telefon ‘kecemasan’.

“Seperti yang kita sedia maklum, telefon Nokia sememangnya tahan lasak dengan bateri tahan lama. Saya berminat juga untuk jadikan ia telefon kedua memandangkan telefon pintar yang kita guna sekarang cepat kehabisan bateri. Lagipun warna keluaran kali ini lebih menarik berbanding yang dulu,” kata Nur Anis.

Nokia mengembalikan kegemilangan model 3310 ketika Kongres Persidangan Mudah Alih Dunia (MWC) 2017 dengan mengubah sedikit reka bentuk ikoniknya serta kali ini datang dengan paparan skrin 2.4 inci format 320 x 240 piksel.

Telefon bimbit ikonik ini dijual pada harga sekitar RM280.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 12:06 AM
Nokia 3310 baharu  yang dilancarkan di Kongres Mudah Alih Dunia  (MWC) 2017  di Barcelona, Ahad lalu.
Nokia 3310 baharu yang dilancarkan di Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) 2017 di Barcelona, Ahad lalu.