Nokia 3310 kembali dengan reka bentuk baharu. FOTO EPA
Nokia 3310 kembali dengan reka bentuk baharu. FOTO EPA
Afiq Hanif

Barcelona: Nokia mengembalikan kegemilangan model 3310 ketika Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2017 dengan mengubah sedikit reka bentuk ikoniknya serta kali ini datang dengan skrin berwarna.

Ia datang dengan skrin 2.4 inci format 320 x 240 piksel dan lebih nipis berbanding model pertama yang dikeluarkan 17 tahun lalu.

Dengan skrin berwarna, Nokia 3310 mempunyai kenipisan 12.8 milimeter dan berat 79.6 gram.

Sebelum ini, Nokia 3310 setebal 22 millimeter dan seberat 133 gram.

Selain itu, permainan Snake yang menjadi ikon 3310 juga akan dikekalkan dengan operasi telefon menggunakan Series 30+.

Kali ini, 3310  datang dengan warna termasuk hijau, merah dan kuning malah rekaannya lebih ringan berbanding model terdahulu.

Sebelum ini, Microsoft mengambil alih Nokia di bawah Microsoft Mobile dan kini syarikat Finland, HMD Global terbabit mahu memperkasakan semula jenama asal.

Ia ditawarkan pada harga sekitar RM280.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 1:44 AM