Dadah yang dirampas. (Gambar kanan) pondok yang dijadikan tempat membungkus dadah. FOTO ihsan polis
Dadah yang dirampas. (Gambar kanan) pondok yang dijadikan tempat membungkus dadah. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Bapa berusia 48 tahun dan anak lelakinya berumur 18 tahun berdepan hukuman gantung selepas dicekup bersama sejumlah dadah di Kampung Machang Bubok, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, sepasukan pegawai serta anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah menyerbu pondok di belakang sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, dua beranak bersama seorang lagi remaja berusia 15 tahun sedang membungkus dadah.

Beliau berkata, pihaknya menjumpai 26 paket heroin, 24 tiub heroin seberat 46 gram (g) dan sembilan paket syabu seberat 6.41g di dalam beg di pondok itu.

Katanya, polis juga menemui peralatan membungkus dadah dan alat penimbang.

"Semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) dan Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 5:43 PM